Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Puteri tercinta kepada pasangan selebriti Nur Fazura dan Fattah Amin, Nur Fatima menerima seutas rantai berlian daripada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman, hari ini.

Rantai berserta loket berlian yang direka khas dengan huruf F itu diberikan bersempena ulang tahun kelahiran Fatima yang pertama.

Selain rantai, Fatima turut menerima sekeping kad yang tertulis ucapan istimewa daripada Tengku Permaisuri Norashikin.

"Kepada Fatima, awak layak menerima semua cinta dan kebahagiaan di dunia. Selamat hari jadi," tulis Tengku Permaisuri dalam kad berkenaan.

Dalam masa sama, Fazura meluahkan rasa teruja dengan pemberian istimewa itu.

"Hadiah istimewa untuk Fatima daripada Tengku Permaisuri Norashikin. Masya-Allah, sukanya. Rantai rekaan khas untuk Fatima. Junjung kasih kepada Permaisuri yang penyayang dan pemurah," katanya.

Menurut Fazura, dia juga mendoakan Tengku Permaisuri Selangor supaya sentiasa dilimpahi rezeki dan kegembiraan.

"Kami sayangkan Tuanku. Semoga Tuanku sentiasa diberkati dan dilimpahi dengan kegembiraan, rezeki dan kasih sayang setiap hari, amin," katanya.

Sebelum ini, Fazura juga pernah menerima hadiah daripada Tengku Permaisuri Selangor iaitu kepingan syiling emas dan beberapa naskhah buku agama.

Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga dalam satu majlis tertutup pada 27 November 2017.

Hasil perkahwinan, pasangan popular berkenaan dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 9:49 PM