PESERTA Squid Game menjadi taruhan sama ada mereka akan terselamat atau dibunuh.
PESERTA Squid Game menjadi taruhan sama ada mereka akan terselamat atau dibunuh.
Syafil Syazwan Jefri


SEJUJURNYA, saya bukan peminat siri popular tambahan pula dari Korea Selatan. Bukan sebab saya membenci, tidak berminat atau apa, sebaliknya saya ada alasan tersendiri.

Alasan utama saya adalah, apabila saya mula menonton sesuatu siri tidak kira di kaca TV mahu pun platform digital, saya akan mula 'tercangkuk'!

Bukan mudah untuk saya berhenti menonton dah sudah memulakan langkah. Dari episod satu, seterusnya sambung pula ke episod kedua dan tanpa sedar, saya tak boleh tamatkan tontonan saya semudah ABC.

Terbaharu, antara siri yang berjaya 'mencangkuk' perhatian saya untuk menonton adalah Squid Game. Saya percaya bukan saya seorang sahaja, ramai juga yang menonton siri terbaharu dari Korea Selatan ini.

Buka apa sahaja platform media sosial, tentunya akan ada hantaran mengenai siri ini. Bahkan, ada juga yang membuat pelbagai teori dan spekulasi mengenai kesinambungan musim keduanya.

Secara ringkas, ia mengisahkan mengenai perjalanan hidup karakter utamanya, Seong Gi-hun lakonan Lee Jung-jae yang penuh ujian dari segi kewangan.

Di samping kewangan dan ekonominya yang menjadi masalah utama, dia juga diuji dengan dugaan besar apabila ibunya memerlukan kos pembiayaan perubatan untuk diabetes.

SQUID Game karya segar berjaya angkat kisah permainan kanak-kanak Korea Selatan.
SQUID Game karya segar berjaya angkat kisah permainan kanak-kanak Korea Selatan.

Satu hari, dia didatangi seorang lelaki misteri yang mengajaknya bermain satu permainan ketika sedang berada di stesen kereta api.

Dari situ, bermula kisah Gi-hun sebagai peserta dalam satu permainan Squid Game untuk membawa pulang sejumlah besar wang tunai yang mampu mengubah kehidupannya.

Tidak hanya Gi-hun, rupa-rupanya ramai individu lain yang turut berdepan situasi dan masalah kewangan sama sepertinya.

Ketika berada dalam Squid Game, ada enam permainan yang perlu diselesaikan semua 456 peserta dan sepanjang proses itu, peserta yang gagal akan dianggap 'kalah mati'.

Sepanjang sembilan episod, penonton termasuk saya disajikan dengan pelbagai situasi mencemaskan. Strategi yang diatur oleh peserta Squid Game juga menjadi taruhan sama ada mereka akan terselamat atau dibunuh.

Dari segi perjalanan cerita, ia adalah karya yang saya anggap segar kerana mempertaruhkan permainan kanak-kanak Korea Selatan.

Namun, idea pertaruhan nyawa sebegini bukan idea baharu kerana ada banyak filem yang pernah saya tonton menggunakan konsep sama.

PENONTON Squid Game disajikan dengan pelbagai situasi mencemaskan.
PENONTON Squid Game disajikan dengan pelbagai situasi mencemaskan.

Perkembangan setiap karakter juga digarap dengan begitu terperinci sekali. Penonton dapat menyaksikan sendiri apakah perwatakan di sebalik setiap watak dan bagaimana perjalanan mereka yang membawa mereka menyertai Squid Game.

Tidak dinafikan, ada juga beberapa babak yang saya anggap agak meleret. Namun, tidak sehingga ia membunuh kekuatan siri ini.

Dari segi pengajaran dan moral cerita, Squid Game memaparkan mengenai sikap kemanusiaan dan pada masa sama, bagaimana wujudnya rasa pentingkan diri sendiri itu juga penting.

Lebih mencuri perhatian saya adalah apabila permainan kanak-kanak berjaya diangkat dan diperkenalkan kepada dunia menerusi satu siri yang ditayangkan di platform Netflix.

Sebagai seorang daripada jutaan penonton, saya juga menantikan khabar mengenai kehadiran musim kedua memandangkan babak akhir yang menurut saya, tergantung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:30 AM