KONSERT Search Rockin’ On Rooftop akan bertemu peminat pada 11 Jun ini.
KONSERT Search Rockin’ On Rooftop akan bertemu peminat pada 11 Jun ini.

Kuala Lumpur: Sama ada secara kebetulan atau dirancang, kumpulan rock legenda, Search yang kini terbahagi kepada dua bakal tampil dengan dua konsert berbeza dalam tempoh seminggu.

Search yang dianggotai Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (penyanyi) dan Minn (dram) akan beraksi di Konsert Search Rockin' On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, di sini, pada 11 Jun ini.

Seminggu sebelum itu, Search yang dibarisi Amy (penyanyi), Hillary Ang (gitar), Man Kidal (gitar) dan Nasir (bass) pula bakal menggegar dengan Konsert Search Endemik di dewan konsert bertaraf dunia yang baru iaitu Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre pada 4 Jun.

Noordin berkata, mereka tiada masalah dengan tarikh berkenaan kerana yakin peminat tetap akan menyokong.

"Tak kisahlah, rezeki masing-masing. Search yang sana ada kelebihan, Search yang sini pun ada kelebihan juga," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Noordin, tiket yang mula dijual pada 22 April lalu itu mendapat sambutan memberangsangkan apabila tiket berharga RM88 sudah habis dijual, manakala tiket berharga RM198 dan RM298 turut laris.

Sementara itu, Amy dalam satu temubual dipetik sebagai berkata, Konsert Search Endemik bakal menjadi konsert terbaik mereka.

Konsert Search Endemik di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre pada 4 Jun.
Konsert Search Endemik di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre pada 4 Jun.

"Tempat ini (Zepp Kuala Lumpur) ada semua kemudahan untuk sebuah konsert bertaraf antarabangsa. Saya yakin peminat yang menyokong kita sejak awal juga peminat daripada generasi lebih muda, akan mendapat pengalaman kehebatan dan kualiti konsert dari pelbagai segi," katanya.

Terdahulu, Noordin bersama Search menerusi Facebook Search Band mengumumkan Konsert Search Rockin' On Rooftop pada 20 April lalu diikuti oleh Amy yang mengumumkan tarikh Konsert Search Endemik, Isnin lalu menerusi Facebook.

Walaupun Search sudah terpecah dua, ia seolah-olah membawa tuah buat peminat kumpulan rock ini apabila dapat menyaksikan konsert kedua-duanya dalam tempoh waktu yang hampir.

Tinjaun Harian Metro di Facebook Search Band dan Amy Search mendapati rata-ratanya peminat Search terbuka dengan pemilihan tarikh dua konsert berkenaan.

Walaupun agak 'membebankan' kerana terpaksa membeli tiket untuk dua konsert, namun sebagai peminat setia 'Search', ramai yang sanggup berbelanja.

Namun, ada juga yang membandingkan kononnya Konsert Search Rockin' On Rooftop adalah 'konsert marhaen', manakala Konsert Search Endemik pula 'konsert kayangan' berdasarkan harga tiket yang ditawarkan.

Tiket untuk Konsert Search Rockin' On Rooftop berharga RM298, RM198 dan RM88, manakala tiket Konsert Search Endemik berharga RM250 (Silver Seats), RM300 (Gold Seats), RM250 (Rock Zone - standing), RM650 (Platinum Seats) dan RM8,000 (VIP Box).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 4:27 PM