Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Selamat pagi, jika ada tajaan, harga tiket paling murah RM68.00. "Tapi kami nak 10,000 orang yang hadir. Boleh..??#searchband#concert

Hantaran di Facebook Search Band ini ternyata mendapat sambutan peminat setia Noordin (pemain gitar), Kid (pemain gitar), Yan (pemain bass) dan Denden Gonjalez, vokalis dari Indonesia yang baru selesai beraksi menerusi Konsert Search Rockin' On Rooftop di Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Sabtu lalu.

Hantaran terbabit mendapat lebih 5,600 tanda suka serta 1,500 komen yang rata-ratanya bersetuju dengan harga yang dicadangkan ini.

Malah ada diantara mereka yang menyatakan perasaan tidak sabar menantikan kemunculan kumpulan legenda ini ke tempat mereka.

Terdahulu menerusi Facebook sama malam tadi, Search mengumumkan 'blueprint' konsert live mereka yang akan diadakan selepas ini.

Menurut mereka ia akan bermula dengan Borneo Tour pada Ogos hingga Oktober ini membabitkan Tawau, Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, Sandakan, Sabah serta Miri, Sarawak dan Kuching, Sarawak.

Tidak ketinggalan mereka juga akan terbabit dengan Asia Tour pada November hingga Disember di tempat kelahiran Denden iaitu Bandung, Indonesia dan diikuti dengan Singapura.

Manakala pada tahun depan pula, Search akan menggegarkan seluruh negara dengan Malaysia Tour pada Februari hingga Mac.

"Ia akan berlangsung di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur. Lokasi-lokasi ini telah dikenal pasti untuk venue seterusnya selepas kejayaan penganjuran Konsert Search : Rockin' On Rooftop.

"Kami bersedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat atau individu yang ingin menjayakan konsert di beberapa lokasi yang terdapat dalam 'blueprint' kami.

"Segala cadangan penganjuran atau tajaan, boleh hubungi pihak pengurusan Search," tulis mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 3:16 PM