Noordin (tengah) bersama anggota kumpulan Search. FOTO Firdaus Kamal
Noordin (tengah) bersama anggota kumpulan Search. FOTO Firdaus Kamal
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Ya, ada yang cakap dah 'sejuk' sebab agak lama juga jarak nak ke konsert seterusnya."

Demikian kata pemain gitar kumpulan Search, Noordin mengenai penganjuran Search: Live in Concert - Rockin' Arena 2022 yang bakal diadakan di Penang Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang (PP) pada 24 Disember depan dan pusat beli-belah AEON Mall, Bandar Dato Onn, Johor Bahru (JB) pada 28 Januari tahun depan.

Noordin berkata, mereka berehat tiga bulan selepas penganjuran Konsert Rockin' On Rooftop di Kompleks Campbell, di sini yang berlangsung pada 11 Jun lalu.

"Betul, jarak antara konsert Rockin' On Rooftop dengan yang akan datang ini dalam enam bulan juga. Bukan apa, selepas konsert itu kami berehat tiga bulan sebab nak buat perancangan untuk konsert seterusnya ambil masa juga. Ditambah pula dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Selain itu, faktor lokasi juga memainkan peranan. Memang kalau boleh selepas konsert Rockin' On Rooftop kami nak buat di tempat terbuka. Ada terfikir tempat lain tapi bukan 'outdoor' atau atas bumbung.

"Diakui memang ramai yang minta kami buat cepat. Tapi, macam dikatakan tadi, kena ambil kira banyak faktor juga. Seperkara lagi, sewaktu menjayakan Rockin' On Rooftop, kita tak boleh rancang konsert seterusnya sebab tak nampak lagi hasil konsert ini. Apabila ia berjayq, baru boleh ambil langkah seterusnya," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Noordin dan Search ditemui pada Sidang Media Search: Live in Concert - Rockin' Arena 2022 yang diadakan di Hotel Campbell, hari ini.

Menurut Noordin, disebabkan faktor cuaca juga perancangan mengadakan konsert di Sabah yang dijadual pada November ini terpaksa ditunda.

"Konsert di Sabah yang sepatutnya pada November kami tangguh dahulu. Ia disebabkan faktor cuaca. Tapi, kami tetap akan pergi Sabah dan Sarawak juga. Mewakili Search, saya mohon maaf kepada peminat di sana," katanya.

Selain Noordin, Search turut dianggotai oleh Denden Gonjalez (penyanyi), Kid (gitar), Yan (bass) dan Minn (dram) serta pemain keyboard undangan, Firdaus.

Harga tiket untuk dua konsert ini ialah RM268 dan RM148 dan dijangka mula dijual minggu depan. Pembelian dibuat secara dalam talian dan secara fizikal di kedai Search Rock Station di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 5:20 PM