PASYA ingin jadikan 2022 sebagai tahun penuh semangat.
PASYA ingin jadikan 2022 sebagai tahun penuh semangat.
Syafil Syazwan Jefri


USAI empat tahun kariernya dalam industri seni muzik tanah air, penyanyi Faizul Asyraf Fauzi atau Pasya melalui pelbagai fasa dan menimba pelbagai pengalaman.

Sama seperti anak seni lain, Pasya juga melalui proses mencabar tatkala perlu berdepan situasi pandemik yang melanda dunia, sekali gus mengganggu ekosistem industri muzik tanah air.

Namun, apa yang berlaku tidak pernah mematahkan semangat naib juara program Mentor 7 ini, sebaliknya 2022 menjadi tahun untuknya mengorak langkah lebih jauh.

"Sekarang saya bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana label atau pengurusan. Jadi, memang tahun ini saya dah rancang untuk kukuhkan jenama nama saya dalam industri muzik," katanya.

Menurut Pasya, dia juga merancang satu rencana besar untuk kelangsungan kerjaya seninya.

"Sejak Januari lalu, saya ada merancang sesuatu untuk kerjaya seni saya membabitkan satu pihak lain yang saya belum boleh kongsikan buat masa sekarang.

"Apa yang boleh saya kongsikan, ia adalah projek besar dan kami dah buat perbincangan. Insya-Allah, pertengahan tahun ini, projek itu mula direalisasikan. Ini adalah projek terbesar untuk diri saya sebagai penyanyi selepas saya bergerak sendiri," katanya.

Walaupun namanya mungkin belum menyinar dalam arus perdana, namun Pasya kerap kali muncul membuat persembahan di pelbagai acara dan menjadi pilihan penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk mengisi acara anjurannya.

"Sejak kita semua melalui fasa pandemik dan dibenarkan menganjurkan acara, saya kerap juga membuat persembahan di beberapa acara antaranya anjuran Siti.

PASYA bakal hadir dengan projek besar.
PASYA bakal hadir dengan projek besar.

"Apabila kerap dijemput, saya memang rasa sangat gembira dan berharap supaya ada projek kerjasama dengan penyanyi kesayangan ramai itu. Harapnya impian saya itu menjadi kenyataan," katanya.

Berkongsi mengenai ruang dan platform yang dibuka oleh Siti untuknya, Pasya bagaimanapun tidak menafikan pernah rasa '

takut' akan penyanyi itu.

"Ketika pertama kali bertemu dengannya, saya tak nafikan ada rasa 'takut' dan 'seram' dengan dia. Bukan apa, walaupun saya tahu dia adalah orang yang baik, tapi tahap dia dalam industri sebagai penyanyi nombor satu negara membuatkan saya rasa gementar.

"Tapi, setiap kali membuat persembahan di acaranya, dia akan turut serta untuk menyanyi bersama saya dan lama-kelamaan, ada keserasian antara saya dengan Siti dalam nyanyian," katanya.

Pasya turut berkongsi beberapa nasihat yang pernah diterimanya daripada Siti selaku orang yang lebih berpengalaman dalam industri muzik.

"Dia berpesan kepada saya, apa yang paling penting adalah untuk sentiasa pentingkan kita punya perjalanan serta pergerakan dalam industri. Jaga diri dan nama, elakkan gosip dan sebagainya," katanya mempertaruhkan single berjudul Kemelut yang menjadi lagu tema (OST) untuk drama bersiri Diari Seorang Suami di TV3 hujung tahun lalu diikuti single duet bersama rakan duetnya dalam program Lagu Cinta Kita 3 iaitu Puteri menerusi lagu Cinta Sejatiku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 6:30 AM