HARAP sokongan, Pasya berterima kasih kepada semua pendengar.
HARAP sokongan, Pasya berterima kasih kepada semua pendengar.
Norhayati Nordin


Kehadiran bakat baharu dalam industri hiburan tanah air bersilih ganti.

Bukan hanya itu, penerbitan program realiti pencarian bakat juga masih mendapat sambutan positif dan hangat dalam kalangan penonton.

Pasya yang juga peserta program Lagu Cinta Kita musim ketiga (LCK3) dan pernah menjadi finalis Mentor 7 pada 2017 berkata, dia tak akan berhenti mencari peluang untuk mengembangkan bakat seninya.

Pemilik nama sebenar Faizul Ashraf Fauzi ini berkata, dia perlu terus berusaha untuk menempatkan nama dan bakatnya dalam industri seni biarpun menyedari persaingan yang sentiasa ramai.

"Saya memang minat menyanyi sejak kecil dan sudah lama. Jadi, melihatkan kepada persaingan yang ramai, saya sedar kena sentiasa tingkatkan usaha. Saya juga tidak boleh berasa cepat kecewa dan putus asa.

"Saya selalu percaya kepada rezeki Allah yang sentiasa ada. Ia juga menjadi pemangkin semangat saya untuk terus mengejar impian dalam karier nyanyian. Alhamdulillah, kini nampaknya usaha saya sudah menunjukkan hasil positif," katanya.

Siapa sangka, Pasya berpeluang muncul dengan single terbaharu berjudul Hari Baru hasil ciptaan Putera Muhammad dan Herman Kamal.

Malah, single ini juga dipilih sebagai runut bunyi atau OST bagi drama Kampung People 3.

Pasya berkata, dia bersyukur dengan rezeki single Hari Baru berkenaan.

Katanya, dia tidak sangka single itu dipilih sebagai lagu tema drama dan amat berterima kasih dengan semua pihak terbabit dan TV3.

"Saya teruja dan rasa sangat bertuah kerana single saya, Hari Baru menjadi lagu OST bagi drama komedi keluarga, Kampung People 3 yang diminati ramai penonton.

"Lagu ini istimewa buat saya kerana ia juga memberi inspirasi kepada mereka di luar sana dan liriknya juga menyentuh perihal kehidupan seharian. Saya yakin pasti ramai yang pernah melalui saat-saat getir dalam hidup.

"Tidak hanya itu, lagu Hari Baru juga dapat memberi dorongan kepada mereka untuk terus bertahan dalam mengharungi cabaran kehidupan. Saya harap pendengar dapat menerima hasil karya ini dengan baik dan terima kasih sudah menyokong perjalanan karier saya," katanya.

Selama aktif sebagai penyanyi, Pasya hingga kini sudah melancarkan tiga single iaitu Rapsodi Jalanan, Arca dan Kemelut.

Salah satu kejayaan terbesar Pasya juga, dia yang pernah membuat 'cover' semula lagu Nur Nilam Sari nyanyian asal kumpulan Search dan Datuk M Nasir berjaya meraih 6.9 juta tontonan di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 6:55 AM