ASMIDAR dan Siti Sarah pernah sama-sama berkongsi pentas ketika menyertai Bintang RTM 2001.
ASMIDAR dan Siti Sarah pernah sama-sama berkongsi pentas ketika menyertai Bintang RTM 2001.
Najiy Jefri


WALAUPUN sudah hampir tiga bulan pemergian Allahyarhamah Siti Sarah, namun segala kebaikan yang dilakukan ketika hayatnya masih menjadi ingatan buat rakan selebriti yang mengenalinya.

Tidak terkecuali penyanyi Asmidar yang mengakui Allahyarhamah antara insan yang sering menjadi rujukan buat dirinya untuk kekal relevan dalam industri seni.

Pernah bertanding atas pentas yang sama iaitu Bintang RTM 2001, Asmidar pernah meminta nasihat dan tip daripada Siti Sarah cara untuk menjadi penyanyi berjaya.

"Saya perlu akui arwah mendahului saya dan lebih berjaya sebagai penyanyi. Saya pernah meluahkan rasa hati kepada Siti Sarah bahawa saya juga ingin berjaya sepertinya dan meminta dia mengajar saya cara menjadi penyanyi berjaya," katanya ketika mengimbas kembali perbualannya dengan penyanyi lagu Kesetiaan itu.

Menurut Asmidar, penyanyi itu memberikan satu tip untuk diamalkan dan tidak menyangka apa yang dikongsikan Sarah benar-benar membantunya.

"Arwah kata caranya senang sahaja. Banyakkan bersedekah. Insya-Allah, segalanya akan dipermudahkan," katanya.

Selain pernah bertanding di pentas Bintang RTM 2001, Asmidar dan Siti Sarah juga pernah ke Los Angeles, Amerika Syarikat mewakili negara di pertandingan World Championship of Performing Arts pada 2009.

Bagi Asmidar, sepanjang berkawan dengan Siti Sarah, Allahyarhamah adalah individu yang lucu dan mudah berkawan.

"Selepas pemergian Siti Sarah, kita boleh nampak satu persatu kebaikannya terbongkar. Arwah memang ceria orangnya. Bagi yang mengenali Siti Sarah pasti tahu perangainya yang 'gila-gila' dan sangat mesra," katanya.

Siti Sarah meninggal dunia pada usia 37 tahun pada 9 Ogos lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Kuala Lumpur akibat Covid-19.

NASIHAT, tip arwah Siti Sarah jadi azimat Asmidar kekal relevan dalam industri seni.
NASIHAT, tip arwah Siti Sarah jadi azimat Asmidar kekal relevan dalam industri seni.

Dalam pada itu, selain bergelar tenaga pengajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Asmidar juga dalam proses merangka strategi baharu untuk kerjayanya seninya tahun depan.

"Tidak dinafikan, orang hanya kenal saya dengan lagu Biar Sampai Ke Bintang dan cuba juga untuk keluarkan lagu yang boleh menarik hati orang.

"Tapi, sehingga kini orang tetap ingat lagu itu. Saya cuba, akan ada projek akan datang keluar dari kepompong kebiasaan saya.

"Selalu dengar saya nyanyi balada, kali ini lebih istimewa. Ia sangat 'personal' dan sesuatu yang nak sangat dikongsikan kepada peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 6:20 AM