Daiyan Trisha berada di Makkah menunaikan umrah
Daiyan Trisha berada di Makkah menunaikan umrah

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha, 29, yang kini mengerjakan umrah di Makkah mengambil kesempatan menitipkan doa dipertemukan jodoh sewaktu melawat Jabal Rahmah.

Daiyan berharap doa itu akan termakbul dan percaya dirinya sudah bersedia bertemu seseorang untuk dijadikan pasangan hidup.

"Jabal Rahmah adalah tempat di mana Nabi Adam dan Siti Hawa akhirnya dipertemukan untuk pertama kali di bumi selepas terpisah selama ratusan tahun. Jadi mereka cakap, kalau minta jodoh, kat sinilah tempatnya.

"Saya tak kisah pun kalau saya buat. Ya Allah ya Tuhanku, semoga Kau pertemukan jodoh yang terbaik buat diriku, mungkin sudah tiba masanya. Aminkan cepat," katanya.

Daiyan juga menyifatkan dirinya cukup bertuah dan tidak sangka impian untuk mengerjakan umrah dapat dilaksanakan buat pertama kali dalam hidupnya.

Menurutnya, impian itu memang sudah lama dipendam namun dirinya belum bersedia sehinggalah hatinya 'diketuk' pada Februari lalu.

"Saya tahu dalam hati saya akan melawat Tanah Suci suatu hari, tapi saya cuma tak pernah rasa dijemput. Saya berfikir mungkin bila sudah meningkat umur, saya rasa saya bersedia.

"Sehinggalah satu tengah hari Ahad, pertengahan Februari lalu. Saya mesej ibu ajak pergi umrah puasa ini. Saya tak tahu ia datang dari mana. Usia saya sudah meningkat tapi belum cukup bersedia lagi.

"Saya bukan orang yang paling warak tapi terasa ada 'ketukan' dalam hati. Saya beritahu rakan karib saya mengenainya dan dia cakap Allah sudah 'jemput' saya," katanya.

Daiyan bersyukur apabila segala urusan untuk ke Tanah Suci itu dipermudahkan sejak berangkat dari Malaysia lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 6:16 PM