NOR Alia ditemani suami berdoa di Jabal Rahmah (gambar kiri), seorang jemaah Malaysia berswafoto di kaki Jabal Rahmah (gambar kanan) manakala Abdullah Asri (gambar tengah).
NOR Alia ditemani suami berdoa di Jabal Rahmah (gambar kiri), seorang jemaah Malaysia berswafoto di kaki Jabal Rahmah (gambar kanan) manakala Abdullah Asri (gambar tengah).
Tuan Asri Hussein


JABAL Rahmah, satu daripada lokasi popular yang diziarahi jemaah haji Malaysia sering dikaitkan sebagai lokasi untuk berdoa supaya bertemu jodoh, namun hakikatnya bukan itu matlamat jemaah dibawa ke situ.

Mutawif dari kumpulan muassasah Abdullah Asri Hussain berkata, jemaah perlu sedar Jabal atau Bukit Rahmah adalah sebahagian daripada kawasan padang Arafah yang bakal menjadi tempat berwukuf pada 9 Zulhijah nanti.

“Wukuf adalah elemen paling penting dalam proses ibadat haji kerana ia satu daripada rukun dan suasana ketika berwukuf amat mencabar ketahanan mental serta fizikal.

“Oleh itu, sebelum tiba tarikh wukuf, kita bawa jemaah untuk melihat dan memahami bagaimana keadaan di Arafah supaya mereka lebih bersedia apabila tiba hari wukuf nanti,” katanya.

Abdullah Asri berkata, apabila berada di Arafah khususnya dan sepanjang melalui proses ibadat haji, jemaah akan merasai pelbagai kepayahan yang mungkin tidak pernah mereka rasa ketika di tanah air sebelum ini.

“Tujuannya, untuk kita ambil pengajaran bahawa cukup susah Rasulullah S.A.W. nak perjuangkan Islam. Kesusahan yang kita lalui sekarang ini, tidak seberapa berbanding kesusahan di zaman Rasulullah ketika buat haji dulu.

“Jadi, ibrah atau pengajaran kepada kita...haji ini adalah jihad. Datang buat haji bukan datang rehat, main-main atau membeli-belah. Apabila kita sebut jihad, kita kena sedia terima segala susah payah,” katanya.

Abdullah Asri ditemui ketika membawa sekumpulan jemaah haji Malaysia berziarah ke Jabal Rahmah dan ziarah itu diatur penganjur tempatan tanpa membabitkan Tabung Haji (TH).

Jabal Rahmah sering dikaitkan sebagai lokasi mustajab doa untuk mendapat jodoh kerana ia tempat Nabi Adam dan isterinya Hawa bertemu semula selepas Allah SWT turunkan kedua-duanya ke dunia akibat kesalahan memakan buah khuldi di syurga.

Selain Jabal Rahmah, dua lagi lokasi popular disenarai dalam aktiviti ziarah luar untuk jemaah haji ialah Jabal Nur dan Jabal Thur.

Jabal Nur ialah lokasi terletaknya gua hira' iaitu tempat Rasulullah S.A.W kali pertama menerima wahyu daripada malaikat Jibril manakala di Jabal Thur pula terdapat gua di mana Rasulullah S.A.W. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi ketika perjalanan hijrah dari Makkah ke Madinah.

Sementara itu, seorang jemaah Malaysia, Nor Alia Alias yang dilihat wartawan sedang berdoa di Jabal Rahmah berkata, semestinya dia tidak berdoa untuk bertemu jodoh kerana sudah berumahtangga dan suaminya, Azizul Mohamad turut bersamanya menunaikan haji.

“Seluruh bumi Makkah ini ada keberkatan dan kita digalakkan berdoa.

“Di Jabal Rahmah ini, saya berdoa supaya saya dan suami dapat kembali ke sini semula bersama empat anak kami,” kata guru berasal dari Negeri Sembilan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 1:29 PM