SEBAHAGIAN artis yang hadir pada pengumuman Top 20 AME 2018.
SEBAHAGIAN artis yang hadir pada pengumuman Top 20 AME 2018.
Georgie Joseph

Anugerah MeleTOP Era (AME) 2018 kembali untuk edisi kelima dengan pengumuman Top 20 dilakukan, kelmarin dihadiri artis yang mendapat pencalonan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

AME 2018 bakal dilangsungkan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 8 April ini, jam 9 malam dan ditayangkan secara eksklusif di empat saluran utama Astro iaitu Ria (Astro 104), Prima (Astro 105), Ria HD (Astro 123) dan Maya HD (Astro 134).

Seperti dijangka, beberapa nama dominan yang cukup bersinar tahun lalu tersenarai bukan saja untuk satu kategori tetapi lebih daripada itu.

Walaupun masih terlalu awal untuk meneka siapa yang mampu membawa pulang kemenangan, namun anugerah berdasarkan undian 100 peratus peminat itu jelas dinantikan terutama peminat setiap artis terbabit.

Apa yang pasti, matlamat penganjuran AME semakin kukuh mengambil kira populariti adalah elemen penting dalam kerjaya anak seni. Ia perlu seiring dalam memastikan penjenamaan kepada seseorang artis itu.

PERSEMBAHAN Alif dan Adam menyanyikan Buat Selamanya.
PERSEMBAHAN Alif dan Adam menyanyikan Buat Selamanya.

Ketua Strategi Kandungan dan Inovasi Astro, Namanzee Harris berkata, penganjuran itu adalah satu inisiatif yang besar dan bukan sekadar menjadikan AME sebagai acara tempelan semata-mata.

“Kini sudah memasuki tahun kelima, AME berjaya membuka dimensi baru untuk memartabatkan karya seni dan nilai komersial tempatan. Ia juga medium penting untuk mengeratkan selebriti dan kelab peminat.

“Penganjuran hiburan berskala besar itu mampu memacu industri seni tempatan ke tahap lebih jauh dan bukan sekadar acara tempelan. Ia juga menjadi medan memperagakan fesyen selain mengiktiraf golongan yang giat berkarya sepenuh hati,” katanya.

Dianjurkan sejak 2014, anugerah berprestij itu masih mengekalkan format asal meraikan karya dan personaliti paling meletup atau popular merangkumi beberapa cabang seni utama seperti muzik, radio, TV, filem, fesyen dan digital sepanjang tahun lalu.

Untuk senarai calon Top 20 bagi 16 kategori dipertandingkan, proses senarai pendek dilakukan secara tertutup menerusi penilaian sepasukan panel juri khas berpengalaman.

Masih mengekalkan pasangan hos Nabil Ahmad dan Neelofa, semestinya kemeriahan acara itu kelak pasti lebih dirasai memandangkan kedua-dua mereka sudah arif dengan perjalanan AME.

Daripada semua kategori berkenaan, paling mendapat perhatian semestinya kategori Artis Baharu MeleTOP di mana inilah masa untuk melihat selebriti mana berjaya meyakinkan peminat sepanjang tahun lalu.

NABIL dan Neelofa masih kekal mengacarakan AME 2018.
NABIL dan Neelofa masih kekal mengacarakan AME 2018.

Melihat kepada senarainya, tidak dinafikan saingan pasti sengit memandangkan beberapa calonnya sudah membina profil besar.

Bukan itu saja, kelebihan peminat mereka turut kukuh dengan jumlah pengikut di media sosial menjadi kayu ukur utama.

Contohnya, penyanyi Wany Hasrita yang cukup popular dengan lagu Menahan Rindu, fenomena diciptanya sukar disangkal. Begitu juga dengan pelakon Hannah Delisha, namanya pantas meniti di bibir peminat tempatan.

Selain mereka, turut tersenarai dalam pencalonan awal Top 20 itu termasuklah Floor 88, Ismail Izzani, Afifah Nasir, Farah Nabila, Atmosfera, Fendy Bakry, Nastia, Shaa, Putera Band dan Sangeeta Krishnasamy.

Tidak ketinggalan, As’ad Motawh, Syazuwan Hassan, Aishah Azman, Nadzmi Adhwa, Elvina Mohamad, Yaya Zahir, Jasmine Suraya dan Oktovia Manrose.

Kumpulan Floor 88 yang popular dengan lagu Zalikha ketika ditemui berkata, mereka sangat teruja apabila berhasil mendapat tiga pencalonan iaitu Lagu MeleTOP (Zalikha), Grup/Duo MeleTOP dan Artis Baharu MeleTOP.

FLOOR 88 teruja dapat tiga pencalonan.
FLOOR 88 teruja dapat tiga pencalonan.

Menurut mereka, tiada strategi khas untuk memastikan mara ke peringkat seterusnya namun bersedia untuk membuat hebahan sehabis baik di media sosial.

“Terus terang jika dapat tersenarai dalam Top 5 nanti pun sudah cukup memadai. Apa yang kami harapkan adalah AME menjadi penanda atas serta platform buat kami terus maju dalam industri muzik.

“Kami tidak mahu fikirkan sangat mengenai kemenangan, sebaliknya mahu peminat kami memberikan sokongan padu. Cara terbaik untuk merealisasikan hal itu tidak lain dengan sentiasa konsisten menghebahkannya di media sosial,” kata mereka.

Untuk undian fasa pertama bagi menentukan Top 5, undian sudah dibuka sejak 22 Januari lalu dan berakhir pada 23 Februari ini pada jam 12 tengah hari menerusi laman web www.anugerahmeletopera.com.my.

Bagi fasa kedua pula, undian penentuan pemenang setiap kategori boleh dibuat menerusi laman web rasmi, aplikasi ERA dan Raku serta kiriman SMS bermula 6 Mac ini, jam 1 tengah hari hingga 8 April, jam 12 tengah hari.

RITA hadir bersama dua anaknya.
RITA hadir bersama dua anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 2:27 AM