Bersama suami, Amirul Hafiz dan anak mereka, Soraya.
Bersama suami, Amirul Hafiz dan anak mereka, Soraya.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Ain Edruce berkongsi keadaan terkini suaminya, Amirul Hafiz yang disahkan positif Covid-19 sejak empat hari lalu.

Ain ketika dihubungi berkata, suaminya yang kini menjalani kuarantin di rumah berada dalam keadaan baik.

"Alhamdulillah, suami dah ambil dos penggalak sebelum ini dan gejala yang dialami pun hanya sakit tekak. Dia juga semakin okay.

"Dia menjalani kuarantin di rumah dan hari ini sudah masuk hari keempat. Dia nampaknya tak sabar nak habiskan kuarantin dan menyambut kepulangan saya dan anak," katanya kepada Harian Metro.

Selain Amirul, anak mereka, Soraya turut disahkan positif.

"Soraya juga positif dan dipantau di pusat perubatan. Tapi, saya juga turut berada di situ dan setakat ini masih lagi negatif," katanya.

Ain bagaimanapun bersyukur kerana dia diberikan kesihatan untuk terus menjaga anaknya.

"Bila saya negatif, saya bersyukur sebab ada kekuatan untuk menjaga anak. Di hospital pun, pihak hospital ada untuk memantau," katanya.

Ain juga mengambil kesempatan untuk berkongsi nasihat dengan mereka yang bergelar ibu bapa dan memiliki anak yang positif Covid-19.

"Kalau ada anak kita yang disahkan pisitif Covid-19, saya sarankan untuk merujuk kepada pihak hospital. Di sana, pemantauannya lebih tersusun rapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 5:05 PM