Ain bersalin anak kedua.
Ain bersalin anak kedua.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak, Ain Sufia selamat melahirkan anak keduanya jam 10.17 malam tadi di sebuah pusat perubatan di Senawang, Negeri Sembilan.

Dalam hantaran di Instagram, Ain yang juga anggota kumpulan Awok di Maharaja Lawak Mega bersyukur dengan kelahiran bayi seberat 3.92 kilogram itu.

"Alhamdulillah, selepas dua hari bertarung, pukul 10.17 malam tadi, dia keluar (dilahirkan). Semua cara ibu dah usaha, hujung-hujung masuk bilik OT (pembedahan) juga. 

"Nak keluarkan dia mencabar betul ya. Anak nombor dua betul-betul bertuah. Jaga-jaga ayah," tulisnya. 

Ain ketika dihubungi berkata, dia pada awalnya merancang untuk bersalin secara normal, namun terpaksa menjalani pembedahan selepas dinasihatkan doktor.

"Kandungan dah sampai 40 minggu, tapi belum ada sebarang tanda-tanda nak bersalin atau bukaan. Saya pun tak ada masalah kesihatan, jadi awalnya memang nak bersalin secara normal.

"Doktor memang menyokong penuh untuk saya bersalin secara normal sebab nak beri peluang saya rasai sendiri pengalaman bersalin normal memandangkan untuk anak pertama, saya dah jalani pembedahan.

"Dua hari bertarung, doktor dah cuba semua cara termasuklah 'induce' dua kali, masukkan belon, epidural dah pecahkan air ketuban, semua dah cuba. Alhamdulillah, bukaan dah besar selepas itu, cumanya bayi pula tak turun ke laluan.

"Dah lebih masa, denyutan jantung bayi dah semakin menurun. Akhirnya, doktor buat keputusan untuk melakukan pembedahan. Sakit nak bersalin normal pun rasa, sakit selepas pembedahan pun rasa. Lengkap," katanya kepada Harian Metro.

Sehingga pagi ini, bayinya masih lagi dipantau dan memerlukan sokongan oksigen.

"Dari waktu dilahirkan sehingga awal pagi ini, bayi masih dipantau tahap oksigennya dan memerlukan sokongan oksigen. Pakar kanak-kanak akan periksa semula hari ini
 

"Saya pun belum dapat pegang dan susukan dia lagi. Doakan anak saya sihat dan tiada sebarang masalah serius. Terima kasih atas doa dan ucapan semua," katanya.

Ain dan suami, Mohd Nor Ab Mutalib berkahwin pada 1 Februari 2019 dan dikurniakan cahaya mata pertama, Indah Nufa pada 30 Oktober 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 9:37 AM