AIN Edruce beli piano untuk suami sempena ulang tahun pertama perkahwinan mereka.
AIN Edruce beli piano untuk suami sempena ulang tahun pertama perkahwinan mereka.
Norhayati Nordin


Pelakon dan pengacara, Ain Edruce, 29, sanggup membelanjakan RM20,000 untuk membeli sebuah piano sebagai kejutan hadiah kepada  suaminya, Amirul Hafiz Mustaffa, sempena ulang tahun pertama perkahwinan mereka.

Ain dan Amirul yang melangsungkan pernikahan pada 13 Disember tahun lalu juga bakal menimang cahaya mata pertama mereka tahun depan. 

Ain yang kini hamil empat bulan berkata, dia sekadar mahu meraikan ulang tahun perkahwinan bersama suami dan pada masa sama memberi kejutan.

Katanya, ia hanya untuk bergembira dan suka-suka sahaja.

"Amirul tak minta pun saya belikan hadiah. Tapi, ini ulang tahun perkahwinan kami yang pertama. Jadi, pastilah sangat bermakna untuk diraikan sebagai pasangan suami isteri. Lagi pun, orang yang baharu bercinta sebulan ada yang sanggup beli hadiah untuk kekasih. Inikan pula saya, beli hadiah buat suami sendiri, lagilah perasaannya gembira itu lebh bermakna.

"Malah, baru-baru ini pun kami berdua sudah mendapat khabar gembira yang ditunggu-tunggu selama ini, apabila saya disahkan hamil. Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Allah," katanya.

Berbicara juga mengenai Amirul yang tidak mahir bermain piano,  Ain berkata, sekurang-kurangnya dia boleh belajar nanti dan Amirul juga pernah berhasrat belajar bermain piano.

Ain yang kelihatan makin berisi mengakui sejak mengandung berat badannya makin naik kerana selera makan yang bertambah. Namun, paling penting bayinya sihat dan sangat aktif.

"Kami sangat bersyukur rezeki sekeluarga bertambah terutama bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi. Allah sudah makbulkan doa kami. Doa saya kini, semoga proses kehamilan berjalan lancar. Terima kasih kepada semua yang sudah mendoakan yang baik-baik buat kami. Alhamdulillah," katanya.

Ain sebelum ini pernah muncul sebagai pengacara program Immortal Songs serta popular dengan sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 3:54 PM