TANAMKAN keyakinan untuk mencipta nama dalam bidang nyanyian.
TANAMKAN keyakinan untuk mencipta nama dalam bidang nyanyian.
Zaara Talita


TULAR dengan ayat 'beri laluan, beri laluan jerung merah nak lalu ni boh', nama Sofiaa Marieylla mula menembusi industri hiburan tempatan.

Sofiaa atau popular dengan panggilan Mummy Jerung mengakui pernah menitiskan air mata apabila gelagatnya menerusi aplikasi Tik Tok menerima banyak kecaman.

Gadis berusia 22 tahun ini berkata, dia tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit dan menjadikan kecaman sebagai pembakar semangat mengorak langkah sebagai penyanyi.

"Keyakinan ini bukanlah perkara yang mudah atau boleh dijual beli. Tiada di mana-mana platform sama ada Shopee ke Lazada ke atau di mana-mana.

"Benar, keyakinan itu perlu ada dalam diri dan dari situ ia akan bercambah menjadi semangat yang luar biasa. Tipulah jika tidak terkesan, saya pernah menitiskan air mata kerana teruk dikecam.

"Saya pun manusia biasa dan terkesan apabila membaca kecaman yang dilemparkan. Namun, selepas itu saya bangkit dan memberikan kata-kata semangat kepada peniaga di bawah saya pula," katanya.

Sofiaa yang kini akif dalam bidang perniagaan turut ditawarkan untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan Rocketfuel dan meluncurkan single perdananya, Akulah Jerung Merah.

PERNAH menitiskan air mata kerana kerap dikecam.
PERNAH menitiskan air mata kerana kerap dikecam.

Walaupun banyak menerima kecaman, Sofiaa dilihat tidak memandang ke belakang dan terus ingin memajukan kariernya dalam bidang seni.

Ditanya mengenai keputusannya untuk menyertai Big Stage 2022, Sofiaa berkata, dia mahu mempelajari lebih mendalam tentang bidang nyanyian, selain mencabar dirinya yang tidak pernah menyertai sebarang pertandingan besar.

"Sebenarnya, ramai yang tidak tahu saya sudah mula menyanyi sejak di bangku sekolah lagi. Contohnya seperti dikir barat dan sebagainya, tidaklah terlalu hebat namun bolehlah.

"Cuma, saya tidak berkesempatan untuk menyertai pertandingan berskala besar. Ketika itu, saya hanya menyanyi di sekitar Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Jadi, apabila diberi peluang untuk menyertai Big Stage 2022, saya berasa yang ini merupakan peluang yang baik untuk saya memperbaiki diri dari segi nyanyian dan juga kualiti vokal," katanya.

Menyentuh mengenai pesaing-pesaingnya yang rata-rata berpengalaman dalam bidang nyanyian, Sofiaa berkata, dia melihatnya sebagai satu cabaran.

Selain Sofiaa, turut menyertai Big Stage 2022 yang akan bermula 6 Februari ini ialah Aisha Retno, Ajoi Zainal, Daniel Chuer, Elica Paujin, Lia Aziz, Megat Rahim, Yazmin Aziz, Tuah Adzmi, Syafiq Abdilah (Brunei) dan Tegar Septian (Indonesia).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 6:20 AM