Yazmin Aziz
Yazmin Aziz
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon dan selebriti TikTok, Yazmin Aziz mengakui pernah berdepan dengan episod hitam menjadi mangsa buli ketika bersekolah hanya kerana dia kurang fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia.

Kini, gadis kacukan Melayu dan Filipina ini menjadikan kelemahannya itu sebagai bahan jenaka mengikut nasihat penyanyi dan komposer, Mark Adam yang berasal dari Filipina.

"Saya pernah menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah dulu. Saya diludah, disepak dan ditendang serta banyak lagi. Namun, saya tidak mahu tertekan atau meratapi perkara itu lagi.

"Kini saya ingin menjadikan kelemahan dan kurang fasih bertutur Bahasa Malaysia sebagai bahan jenaka. Apabila orang terasa lucu atau ingin ketawa, kita jangan ambil serius perkara itu, malah turut gelak bersama.

"Selepas bertemu dengan Kuya (Mark Adam), saya ingin menjadikan hidup dikelilingi aura positif dan tidak mudah terasa dengan perkara remeh," katanya yang juga salah seorang peserta program realiti Big Stage 2022 yang bermula 6 Februari ini.

Berbicara mengenai pesaing-pesaingnya dalam program itu yang rata-rata berpengalaman dalam bidang nyanyian, Yasmin berkata, dia melihat perkara itu sebagai satu cabaran.

"Saya menyesal juga memakai pendakap gigi kerana tidak menyangka dapat menyertai program ini. Namun, saya anggap ini sebagai cabaran dan ingin memberikan yang terbaik setiap minggu. Saya juga ingin menyanyikan lagu-lagu yang mencerminkan tradisi serta popular di Filipina. Itu kelainan yang bakal saya sajikan kepada juri serta penonton," katanya.

Selain Yazmin, peserta lain Big Stage 2022 ialah Aisha Retno, Ajoi Zainal, Daniel Chuer, Elica Paujin, Lia Aziz, Megat Rahim, Sofiaa, Tuah Adzmi, Syafiq Abdilah (Brunei) dan Tegar Septian (Indonesia).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 6:34 PM