ADEEP Nahar (kiri) dipilih menggantikan Mark Adam. FOTO Arkib NSTP
ADEEP Nahar (kiri) dipilih menggantikan Mark Adam. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi Adeep Nahar dipilih menggantikan Mark Adam pada peringkat separuh akhir program Hijrahkan Laguku terbitan TV Alhijrah, Sabtu ini.

Ia susulan Mark yang disahkan positif Covid-19 minggu lalu.

Pengurus Penjenamaan & Kajian Pengguna TV Alhijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, pemilihan Adeep adalah atas tanggungjawab Mark sendiri.

"Susulan keadaan kesihatan menimpa Mark, jadi pihak penerbitan sudah membuat perbincangan semalam dan memutuskan persembahannya pada separuh akhir nanti digantikan orang lain.

"Pengganti dipilih oleh Mark sendiri iaitu Adeep Nahar. Dalam kontrak memang sudah letak kalau ada terjadi apa-apa membabitkan peserta, ia di bawah tanggungjawab artis itu untuk mencari pengganti," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zulkarnaen, walaupun Mark kini menjalani proses kuarantin dia masih terbabit dalam pertandingan ini.

"Dia akan terus berkarya, malah dia buat semua persediaan dari rumah seperti pemilihan lagu, pertukaran melodi dan lirik. Kami juga melakukan perbincangan menerusi dalam talian. Maknanya dia masih lagi terbabit walaupun tidak membuat persembahan," katanya.

Ditanya adakah kedudukan penyanyi gantian kekal jika dia berjaya ke peringkat akhir, Zulkarnaen berkata, pihaknya masih belum ada kata putus.

"Jika pengganti Mark layak ke akhir, kita belum muktamadkan betul betul. Ia masih dalam peringkat 'brainstorm'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 2:29 PM