TILMIZAH Busyra diumum pemenang kategori mingguan, Alunan Terindah.
TILMIZAH Busyra diumum pemenang kategori mingguan, Alunan Terindah.
Najiy Jefri


Tiada penyingkiran dibuat pada minggu kedua program Akademi Qurra' 2024 yang ditayangkan secara langsung di TV Alhijrah, minggu lalu.

Ini bermakna kesemua 12 peserta program itu akan meneruskan saingan pada minggu ini sekali gus bakal memberi peluang kepada mereka untuk lebih yakin di atas pentas.

Pengurus Penjenamaan dan Kajian Penonton TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata pihak produksi berpuas hati dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan para tilmiz dan tilmizah pada minggu kedua.

"Sebelum membuat sebarang keputusan kami sentiasa mengambil maklum dan melihat pandangan daripada penonton. Program ini lebih kepada mengajar mengenai ilmu Al-Quran.

"Jadi, kami memutuskan untuk tangguhkan dahulu penyingkiran ke minggu-minggu berikutnya. Biarlah peserta ini 'panas badan' dahulu.

"Kita nampak peningkatan mereka dari minggu pertama dan kedua. Jadi, kita harapkan pada minggu berikutnya, mereka sudah bersedia untuk bertanding," katanya.

Tambah Zulkarnaen, setakat ini pihak produksi masih belum memutuskan untuk melakukan lebih daripada satu penyingkiran pada Sabtu ini.

ZULKARNAEN Mokhtar puas hati dengan peningkatan prestasi peserta.
ZULKARNAEN Mokhtar puas hati dengan peningkatan prestasi peserta.

"Kami hanya akan memutuskan soal penyingkiran selepas melihat markah di akhir rancangan. Kita mengikut keadaan.

"Sama ada penyingkiran seorang atau beramai-ramai, kita akan lihat pada prestasi episod akan datang," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan, Tilmizah Busyra sebagai pemenang kategori mingguan, Alunan Terindah, juri tetap Muhammad Qayyim Nizar Sarimi tidak dapat menyangkal kemampuan peserta itu mengalunkan ayat Al-quran.

"Saya memilih Tilmizah Busyra kerana kualiti suara yang baik walaupun lagunya ada sedikit sumbang tapi tidak terlalu ketara.

"Tilmiz Nabil pun bagus tapi pada lagu kedua ada sedikit sesat. Tiada banyak yang ketara berbanding peserta lain.

"Semua peserta berpeluang memenangi kategori alunan terindah," katanya.

PESERTA Akademi Qurra beri saingan sengit.
PESERTA Akademi Qurra beri saingan sengit.

Dalam masa sama, Qayyim berharap agar tenaga pengajar dapat memberikan penekanan terhadap alunan taranum yang kurang dikuasai peserta.

"Pada minggu akan datang, saya minta tenaga pengajar untuk memberi bimbingan kepada peserta mengenai kawalan suara dan tekankan juga lagu-lagu yang mereka tak kuasai lagi setakat ini.

"Kita nak elakkan supaya peserta ini tidak tersesat lagi selepas ini," katanya.

Terdahulu, Akademi Qurra' 2024 disiarkan secara langsung di TV AlHijrah setiap Sabtu jam 9 malam.

Program ini dihoskan oleh Raqib Majid manakala Ustazah Sharifah Khasif dan Qayyim pula bertindak selaku juri tetap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 6:31 AM