Farinawati menyampaikan anugerah kepada wakil TV AlHijrah
Farinawati menyampaikan anugerah kepada wakil TV AlHijrah
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Stesen TV AlHijrah dinobatkan anugerah khas bagi kategori Stesen TV Pelancongan Islamik Terbaik pada Anugerah Pelancongan Islamik Dunia (WITA 2023) sempena Persidangan dan Pameran Haji, Umrah dan Pelancongan Islam Asia (AITEX) 2023 yang berlangsung baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, pengiktirafan bertaraf global itu dibuat oleh panel juri yang sangat mahir dan berpengalaman luas bagi menentukan kriteria pemilihan pemenang.

"Pihak penganjur sependapat bahawa TV AlHijrah sentiasa cakna mengenai keperluan menyokong industri pelancongan negara. Kita terbitkan dan siarkan banyak program-program yang menyokong industri pelancongan Islam. Tidak dinafikan, industri ini banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kemanisan kejayaan ini saya tujukan khas kepada kakitangan TV AlHijrah yang sentiasa dedikasi dan komited dalam menjalankan tugas mereka sehingga berjaya mengharumkan nama baik TV AlHijrah ke persada antarabangsa.

"Kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada TV AlHijrah dalam melaksanakan gerak kerja dakwah kontemporari dengan istiqamah. Penghargaan turut saya zahirkan kepada barisan asatizah yang selama ini sentiasa bersama-sama TV AlHijrah," katanya.

Menurutnya, penganugerahan itu pastinya membantu TV AlHijrah melonjak pada tahap yang lebih tinggi dan mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri Diraja Farinawati Mohd Din dan disaksikan oleh Presiden Persatuan Agensi Pelancongan, Datuk Dr Mohd Khalid Harun.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Kanan Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek.

Hadir sama meraikan kejayaan TV AlHijrah, Pengurus Jabatan Penerbitan, Mohd Ashrudy Borhan dan Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 1:01 PM