IKA Nabella dan suami, Muhammad Zaid Aznam.
IKA Nabella dan suami, Muhammad Zaid Aznam.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Ika Nabella, 32, meluahkan kebimbangannya apabila tidak dapat menghubungi suami yang keluar menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Sungai Lui, Hulu Langat hari ini.

Dalam hantarannya di Instagram, Ika berkata, dia bagaimanapun yakin bahawa suaminya, Muhammad Zaid Aznam berada dalam keadaan baik.

"Saya tak dapat hubungi suami saya sejak dia masuk ke Sungai Lui, Hulu Langat. Saya tahu, dia dalam keadaan baik, cuma saya dimaklumkan di kawasan itu memang tak ada liputan telefon dan dia bersama kawan-kawannya.

"Katanya sebelum pergi tadi, keadaan di sana sangat teruk. Paling teruk setakat ini, tapi mereka tak dapat kongsikan dengan lebih banyak maklumat," tulisnya di Instagram.

Ika ketika dihubungi berkata, suaminya bertolak untuk menjalankan misi menyelamat selepas Zohor siang tadi dan dia juga berbesar hati dengan tindakan suaminya itu.

"Dia keluar lepas selesai semua persediaan, selepas Zohor sebabnya kawasan itu sangat teruk terjejas. Saya yakin, dia okey sebab ini bukan kali pertama dia terbabit misi bantuan. 

"Saya pun sangat berbesar hati apabila suami keluar membantu mangsa yang dilanda musibah ini. Cuma, isteri mana yang tak risau bila tidak dapat hubungi suami dalam situasi begini," katanya kepada Harian Metro.

Ika turut mendoakan kesejahteraan setiap individu yang terkesan dengan bencana banjir ini dan juga mereka yang menjalankan misi menyelamat.

"Di samping mendoakan mereka yang terjejas, marilah kita sama-sama berdoa juga buat hamba-hamba Allah yang berpenat lelah membantu, bukan saja dari segi kewangan tetapi tenaga. Masya-Allah," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 10:10 PM