IKA Nabila mahu menjadi pelakon yang mampu memberikan iktibar kepada penonton.
IKA Nabila mahu menjadi pelakon yang mampu memberikan iktibar kepada penonton.
Georgie Joseph


SELEPAS tiga tahun berehat daripada dunia lakonan, Ika Nabila menyatakan keyakinan dan sudah bersedia kembali merancakkan karier seninya.

Malah tidak menafikan memang cukup rindu beraksi depan kamera.

Ika atau nama sebenarnya, Nabila Abdul Rahim, 35, kembali dengan misi lebih jelas dalam hala tuju sebagai anak seni. Dia enggan menjadi pelakon yang tidak 'berisi' sebaliknya impikan untuk tinggal impak tertentu dalam profilnya.

Jika dulu dia banyak menyambar watak sesuka hati, kini dia mahu tetapkan pemilihannya lebih cermat. Selain itu, dia mengidam untuk melakonkan naskhah yang lebih realistik dan sarat pengajaran.

"Sebarang tawaran kalau sesuai dengan masa dan cerita saya akan ambil. Saya pernah cakap dengan suami, kalau nak berlakon semula, saya mahu cerita yang boleh memberi penonton iktibar.

"Saya tak mahu cerita yang banyak mengajak orang kepada perkara negatif sebab penonton daripada pelbagai usia. Kita tak tahu sama ada lakonan itu boleh mempengaruhi mereka. Saya mahu cerita yang boleh beri impak positif.

"Selama tiga tahun berehat, saya banyak memerhatikan corak karya ditampilkan. Saya berharap akan dapat naskhah yang lebih realistik dan boleh memberi teladan kepada masyarakat," katanya.

Berkongsi apa aktivitinya selama tiga tahun berehat, Ika sepenuhnya memfokuskan kepada keluarga. Terutama anak lelakinya, Muhammad Noah Zayn yang kini berusia empat tahun.

Disebabkan Noah semakin membesar, menjadi faktornya yakin untuk kembali menyambung kerjaya seni. Bukan tiada tawaran, Ika sebenarnya banyak menolaknya dalam tempoh tiga tahun itu.

"Saya berehat sebab melahirkan anak dan mahu membesarkannya. Saya juga ambil masa bertenang sekejap. Sebenarnya sudah berlakon sejak 2009, jadi langsung tiada rasa hendak berhenti sepenuhnya.

"Cuma saya ambil sekejap sahaja masa untuk berehat sebab mahu besarkan anak. Bila anak okay dan besar, memang niat saya mahu teruskan dalam bidang lakonan ini selagi masih ada tawaran," katanya.

Ika sendiri juga memaklumkan kepada suaminya lakonan sudah dalam darah dan saya suka. Menurutnya, rasa rindu untuk terbabit penggambaran memang membara kerana kerjaya sudah biasa dibuat sejak remaja.

"Dalam tempoh tiga tahun itu, tawaran ada cuma tak boleh cerita yang panjang. Bukan tak mahu terima ketika itu, tapi ada kekangan dan saya perlu besarkan anak. Sekarang ini dia sudah besar, pandai bercerita dan pergi ke sekolah," katanya.

Terbaharu, Ika turut membintangi telefilem terbaharu terbitan RTM berjudul Sebelum Sesuatu yang bakal ditayangkan sempena Hari Bapa di TV1 dan RTMKlik pada 22 Jun ini.

Bekas peserta program realiti, Akademi Fantasi musim 6 (AF6) pada 2008 mengakui seronok kerana naskhah itu permulaan agak baik untuknya buat kemunculan semula dalam dunia lakonan.

"Bila dapat tawaran daripada RTM mengenai cerita khas sempena Hari Bapa, saya rasa kenapa tidak untuk terima dan buat kemunculan semula. Saya percaya cerita ini akan beri kesan baik kepada penonton terutama anak-anak.

"Kalau orang nampak okay walaupun saya sudah lama tak berlakon, insya-Allah semua akan okay," katanya ditemui pada majlis pratonton telefilem itu di Wisma TV Angkasapuri, baru-baru ini.

Telefilem yang juga naskhah oleh Azrie Izham dan arahan Danny Alamsyah turut dibintangi Bohari Ibrahim, Johan As'ari, Amerul Affendi, Khai Sabri, Fazlina Ahmad Daud, dan Ashraf Muslim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 6:44 AM