Ika dan suami
Ika dan suami
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Ika Nabella lebih selesa mencapai impian dengan hasil kerja keras sendiri daripada mengharapkan wang suami semata-mata.

Ika atau nama sebenarnya Nabila Abdul Rahim,33, berkata, biarpun mempunyai suami sebagai tulang belakang kerjaya, namun dia mengakui lebih selesa berdikari dalam apa jua aspek.

"Saya bukan jenis yang manja meminta semua benda daripada suami. Walaupun serba sederhana namun lebih dari cukup apa yang ada. Saya sudah biasa bekerja keras sendiri dan tidak memandang kebendaan.

"Saya memerlukan suami dari aspek lain dan bukan dari wang ringgit semata-mata. Ini sekadar bingkisan hati secara rawak, yang mana saya bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang biasa saja.

"Betul semua benda yang berlaku adalah ketetapan Allah SWT tetapi kita dapat mengubahnya. Tidak semudah orang yang sudah sedia kaya tetapi apa pun tidak mustahil. Saya lebih cemburu dengan mereka yang dapat membeli semua yang diidamkan hasil kerja keras dan bukan dapat dengan mudah," katanya.

Ika mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Zaid Aznam pada Julai 2016.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Zayn.

Kini memperlahankan kerjaya lakonan, Ika berkata, dia lebih memberi tumpuan kepada perniagaan yang baharu diceburi.

Katanya, dia selesa fokus pada usaha memantapkan perniagaan.

"Tidak pernah meminta tolong apa-apa, cukuplah sekadar doa agar apa yang dirancang berjalan dengan lancar.

"Jadi kali ini sekiranya dia (suami) membaca bingkisan yang dibuat, doakan segala perancangan berjaya. Bonus sekiranya dia ingin menyumbang untuk produk baharu itu nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 5:33 PM