Kumpulan Boro dianggotai Fad (kiri), Achey (tengah) dan Atu.
Kumpulan Boro dianggotai Fad (kiri), Achey (tengah) dan Atu.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelawak yang juga anggota kumpulan Boro, Achey menganggap kumpulan baru yang dianggotainya bersama Fad dan Atu dari kumpulan Zero itu adalah sebagai kumpulan projek khas bersempena program Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM 2021). 

Namun, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah tidak menafikan akan meneruskan kewujudan dan kerjaya bersama kumpulan itu sekiranya percubaan mereka menunjukkan hasil yang memberangsangkan. 

"Konsep pertukaran kumpulan ini sesuai dengan norma baharu. Walaupun ini adalah kumpulan projek khas, tapi, sekiranya ia menjadi satu kumpulan yang sangat baik, ia boleh diteruskan untuk masa akan datang," katanya kepada Harian Metro. 

Sementara itu, Fad atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam berkata, tidak ada istilah 'merampas' anggota kumpulan lain apabila Atu kini menyertai kumpulan Boro dan tidak bersama Zero. 

"Tak ada istilah 'merampas' ahli kumpulan lain sebab saya sayangkan semua sahabat saya. Walaupun dengan kehadiran anggota baru, strategi kami masih sama," katanya. 

Achey dan Fad sebelum ini popular sebagai anggota kumpulan trio, Bocey bersama Allahyarham Abam yang meninggal dunia pada 10 Februari 2020. 

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai kumpulan Zero yang dianggotai Sharif, Syaiful dan Atu kini menukar nama kepada Tiro selepas Atu membuat keputusan untuk bertukar pasukan. 

Posisi Atu dalam kumpulan itu digantikan Danial yang juga pelawak, penyanyi dan penyampai radio. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 2:46 PM