AC Mizal bersama pelawak-pelawak yang akan beraksi di Konsert Muzika Lawak Nusantara.
AC Mizal bersama pelawak-pelawak yang akan beraksi di Konsert Muzika Lawak Nusantara.
Syafil Syazwan Jefri


KOMEDI bukanlah bakat yang dimiliki semua orang. Ia adalah anugerah buat mereka yang mampu melakukan aksi mencuit hati.

Bakat dan kerja keras pelawak-pelawak ini akan diuji di pentas Konsert Muzika Lawak Nusantara yang bakal berlangsung pada 19 Ogos ini.

Memilih Stadium Malawati, Shah Alam sebagai lokasi, penganjuran acara ini tidak hanya menampilkan pelawak tempatan, sebaliknya turut membabitkan pelawak dari Indonesia.

Antara pelawak tanah air yang akan beraksi adalah kumpulan Bocey yang dianggotai oleh Fad dan Achey serta kumpulan Zero yang dianggotai trio adik-beradik, Sharif, Melati dan Atu.

Dari Indonesia, penganjur Ifix Studio dan Mesaton Venture berjaya mendapatkan persetujuan daripada tiga pelawak bernama besar iaitu Sule, Azis Gagap dan Rina Nose.

Fad berkata, peluang dan ruang ini adalah satu tanda kepercayaan daripada pihak penganjur kepada golongan pelawak.

"Ini adalah satu kepercayaan yang diberikan kepada pelawak. Insya-Allah, pelawak-pelawak kita selama ini, semuanya sudah diterapkan dengan pengetahuan mengenai apa yang perlu, dan apa yang tak perlu ada dalam persembahan.

"Kami berpegang kepada garis panduan untuk tidak menyentuh sensitiviti berkaitan bangsa, agama dan negara orang lain," katanya.

Ditanya mengenai keterbukaan dalam persembahan komedi di pentas berskala besar seperti ini, Fad berkata, dia dan pelawak lain akan turut menerapkan nilai moral.

"Terbuka, tidak bererti kami bebas untuk lakukan apa saja. Tetapi, kami sentiasa beringat dan berpegang dengan nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman," katanya.

Bagi pelawak legenda Indonesia, Sule yang pertama kali akan beraksi di Malaysia, dia akan membawa kejutan buat peminatnya.

"Saya begitu teruja untuk tampil membuat persembahan di Malaysia. Sebelum ini, saya pernah ditawarkan oleh beberapa pihak, namun terpaksa menolak kerana jadual yang tidak bersesuaian.

"Yang jelas, saya akan persembahkan satu persembahan terbaik buat semua. Nantikan kejutan yang akan ada dalam persembahan kami," katanya.

Pengarah Acara, Khairul Afizi berkata, konsert yang akan diacarakan oleh pengacara, Datuk AC Mizal itu juga memilih barisan pelawak hebat ini berdasarkan pencapaian mereka.

"Pemilihan setiap pelawak yang akan beraksi, dibuat dengan begitu teliti. Masing-masing ada kelebihan mereka yang tersendiri contohnya, mereka pernah menjuarai pertandingan untuk program TV. Selain itu, mereka juga memiliki kumpulan peminat mereka tersendiri.

"Pengacara untuk Konsert Muzika Lawak Nusantara ini adalah AC Mizal yang cukup dikenali sebagai selebriti serba-boleh. Selain boleh menyanyi, berlakon dan mengacara, dia juga cukup dikenali dengan lawak bersahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 6:30 AM