TIRO muncul juara MLM 2021.
TIRO muncul juara MLM 2021.
Sudirman Mohd Tahir


Kumpulan TIRO yang dianggotai oleh Sharif, Syaiful dan Danial Zaini dinobatkan juara program Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM 2021) yang berlangsung pada Jumaat lalu. Kemenangan itu, sekali gus melayakkan mereka membawa pulang RM500,000 beserta trofi.

Umum mengetahui, Sharif dan Syaiful juga adik-beradik sebelum ini pernah menganggotai kumpulan ZERO bersama Atu yang turut bergelar juara pada MLM 2014.

Bagaimanapun, pada MLM 2021, Atu memilih untuk tidak bersama dua abangnya itu, sebaliknya bergabung dengan Achey dan Fad membentuk kumpulan BORO.

Disebabkan itu, Sharif mengakui pada awalnya tidak mahu menyertai MLM 2021 selain berkecil hati dengan tindakan Atu.

"Tahun ini kami tidak mahu menyertai MLM. Atu dia buat keputusan nak berhentikan ZERO. Dia cakap tidak mahu dengan ZERO tahun ini dan muncul semula lain tahun. Dia beritahu nak 'join' dengan Achey. Saya pun sentap.

"Sebab sudah dua tahun ZERO tidak membuat kemunculan di pentas ekoran pandemik Covid-19. Apabila Atu cakap begitu, saya dan Melati (Syaiful) pun tidak mahu sertai MLM tahun ini. Sebab tanpa Atu siapalah ZERO. Selama ini pun dia harapan kami dalam ZERO.

"Namun, mak dan keluarga pujuk untuk kami sertai juga. Jadi, saya ambil keputusan dengan Melati nak masuk. Tapi, dia tanya saya pula adakah kami yakin berdua saja. Dalam fikiran dan senarai saya ada seorang yang boleh ganti tempat Atu. Saya sebut nama Danial," katanya.

Pelawaan Sharif pada Danial Zaini juga pemenang program Muzikal Lawak Superstar bersama kumpulan HEART disambut baik.

"Saya terus menghubungi Danial dan berterus terang dengan situasi sebenar kami. Dia cakap nak fikir dulu dan saya okay. Selepas dua ke tiga jam, dia menyatakan persetujuan.

"Pada minggu pertama persembahan, kami tidak menjadi. Kami berasakan tidak ada keserasian. Masuk minggu kedua, apabila ada artis jemputan, mereka yang selamat dan cantikkan idea persembahan kami. Pada minggu ketiga kami sudah dapat rentak dan berjaya mendapat 'hatrik' juara mingguan. Sejak itu saya terus lebih yakin bersama TIRO dengan adanya Danial.

TIRO kekalkan jenama kumpulan.
TIRO kekalkan jenama kumpulan.

"Tapi, pada malam separuh akhir persembahan kami merudum dan berasakan akan terkeluar. Alhamdulillah, rezeki kami sampai ke peringkat akhir. Kami terus cari idea dan ia membuahkan hasil," katanya.

Sementara itu, Danial juga bekas juara program Lawak Solo pada 2016 berkata, pembabitannya dalam MLM 2021 dan bersama TIRO adalah hajat ibunya.

"Sejujurnya, ada dua tiga kumpulan ajak saya masuk. Saat akhir pun Sharif menghubungi saya. Diakui saya membesar dengan program MLM. Saya tengok ZERO menang ketika itu. Mak nak sangat saya masuk MLM.

"Jadi, apabila saya terbabit dalam MLM kali ia sebenarnya lebih kepada memenuhi hajat mak. Saya lapangkan dada, masuk dan terima pelawaan Sharif untuk 'join' TIRO," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai TIRO, Sharif berkata, jenama kumpulan itu akan dikekalkan dan mereka juga bersedia untuk bertanding atas nama kumpulan itu pada MLM akan datang.

"TIRO adalah jenama baharu dan akan kekal. ZERO adalah ZERO, TIRO adalah TIRO. Samada akan bergabung lagi pada MLM tak tahu lagi. Sudah pasti orang akan minta ZERO dan TIRO. Jadi, ia bergantung pada budi bicara," katanya.

Pada MLM 2021, tempat kedua menjadi milik kumpulan PUTEH (Mamak, Vicha dan Ali) yang membawa pulang RM250,000 dan sebuah trofi. Kumpulan BORO (Achey, Fad dan Atu) berada di tempat ketiga dengan hadiah kemenangan RM150,000 dan sebuah trofi.

Sementara di tempat keempat ialah milik kumpulan BAHYE (Zahid, Nizam Jentik Jentik dan Shashic) yang membawa pulang RM50,000 dan sebuah trofi. Berada di kedudukan terakhir ialah kumpulan TOBAT (Ajak Shiro, Bell Ngasri dan Ropie Sharif) dengan hadiah kemenangan RM15,000 dan sebuah trofi.

Pada pentas akhir yang bertemakan Muzikal dan Bebas itu, semua peserta perlu membuat dua tugasan dan dinilai berdasarkan format penjurian 70 peratus daripada juri tetap dan 30 peratus daripada undian penonton di laman web.

Juri terdiri daripada Datuk Rosyam Nor, Noh Salleh, Diana Danielle dan Uqasha Senrose.

Program yang ditayangkan di saluran Astro Warna (132) sejak 15 Oktober lalu dan bersiaran selama 10 minggu dihoskan oleh pengacara Datuk AC Mizal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 6:46 AM