NAM Ron. FOTO Arkib NSTP
NAM Ron. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Pelakon, Nam Ron tidak terdesak untuk mencari sehingga sejuta pengikut di media sosial bagi mendapatkan tawaran berlakon.

"Adakah anda fikir saya betul-betul terdesak mahukan sejuta pengikut? Anda salah! Anda tak kenal siapa saya. Saya tak perlukan sejuta pengikut untuk mendapatkan tawaran daripada stesen TV mahupun mana-mana penerbit. Ini sebab nama saya adalah Nam Ron," tulisnya di media sosial.

Hantarannya itu adalah jawapan daripada beberapa tanggapan netizen terhadapnya yang menganggap dia begitu terdesak mahukan jumlah pengikut yang ramai.

Sejak penghujung September, Nam Ron secara sinikal kerap memuat naik ciapan mencuit hati, 'mencabar' dirinya untuk menyahut cabaran stesen TV dan penerbit yang mahukan pelakon dengan jumlah pengikut sekurang-kurangnya sejuta di media sosial.

Terdahulu, dalam beberapa ciapannya, Nam Ron memuat naik beberapa gambar yang mencuit hati netizen antaranya gambarnya tidak berbaju, gambar 'pose' meniru gaya pelakon, Hairul Azreen, meniru gaya Maya Karin dan terbaru, akan meniru gaya Datin Sofea Jane atas permintaan pelakon itu.

MENIRU gaya Maya Karin.
MENIRU gaya Maya Karin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 4:39 PM