MAYA Karin bersama sukarelawan membersihkan Sungai Batu di Kuala Lumpur baru-baru ini. FOTO Instagram Maya Karin
MAYA Karin bersama sukarelawan membersihkan Sungai Batu di Kuala Lumpur baru-baru ini. FOTO Instagram Maya Karin
Ramlah Zainal


“SAYA berasa sedih, marah dan kecewa dengan sikap segelintir anggota masyarakat yang menjadikan sungai sebagai tempat membuang sampah secara berleluasa.

“Saya sangat terkejut ketika terjumpa perabot terpakai seperti sofa dan bampar kereta yang dibuang ke dalam sungai,” kata pelakon popular dan pencinta alam sekitar, Maya Karin, 39, ketika mengulas mengenai aktivitinya membersihkan Sungai Batu di Kuala Lumpur bersama sukarelawan baru-baru ini.

Dia juga baru dilantik sebagai duta River Of Life sempena projek Kementerian Wilayah Persekutuan selama setahun sejak Januari lalu.

Menurut Maya, dia dan sukarelawan juga berjaya mengutip sebanyak 226 kilogram sampah dan sisa buangan dari sungai terbabit.

“Paling banyak ditemui ialah botol minuman dan lampin pakai buang yang dibuang ke dalam sungai.

“Terus terang, saya sangat kecewa melihat apa yang berlaku ini.

“Ternyata, tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga sungai sangat kurang dalam kalangan masyarakat kita,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas cabaran #MayaKarinChallenge pula, kata Maya, dia sangat gembira dengan sambutan memberangsangkan daripada pengikutnya di laman Instagram.

“Setakat ini, saya sudah menerima lebih 3,000 penyertaan daripada pengikut yang meniru gaya berendam di sungai ini sejak sebulan lalu.

“Cuma ada satu gambar daripada pengikut yang saya tidak muat naik kerana tidak sesuai dan seksi,” katanya.

Ditanya mengenai kempen #MayaKarinChallenge itu, kata Maya, ia akan berterusan dan bergantung maklum balas daripada pengikutnya di Instagram.

“Saya sangat gembira kerana gambar berendam dalam sungai ini tular dan ramai yang meniru gaya terbabit.

“Kempen ini tidak ada pemenang tetapi saya melihatnya sangat bagus dan positif kerana ia secara tidak langsung membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan sungai kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 4:12 PM