QASEH idam berlakon di samping Maya Karin.
QASEH idam berlakon di samping Maya Karin.
Syafil Syazwan Jefri


Tubuhnya yang kecil tidak menggambarkan bakatnya yang besar dan sangat luar biasa. Itu dia, pelakon cilik, Qaseh Izwandy, 15.

Berkesempatan hadir untuk sesi fotografi dan temu bual baru-baru ini, pemilik nama sebenar Putri Syahadah Nur Qaseh Izwandy ini berkongsi cerita mengenai lakonannya dalam filem terbaharu berjudul Walid.

"Walid adalah filem keempat lakonan saya. Sebelum ini saya pernah berlakon dalam beberapa filem iaitu Roh, Penunggang Agama 1 dan 2 dan Garang.

"Dalam filem Walid, saya perlu banyak bermain dengan emosi sedih. Sebabnya watak saya sebagai Aisha adalah sebagai anak kepada orang yang tidak bernegara dan tiada penjaga. Satu hari, dia bertemu watak Walid dan hidupnya berubah," katanya.

Ditanya mengenai cabaran dan pengalaman berlakon di samping pelakon berpengalaman seperti Nam Ron, Qaseh berkata, dia bersyukur kerana mendapat khidmat nasihat daripada mereka.

"Untuk rujukan, saya membaca dan memahami skrip. Kemudian, saya cuba realisasikan watak Aisha itu mengikut cara saya sendiri. Kalau ditanya, saya rasa ia tak terlalu sukar untuk saya melakonkan watak yang bermain dengan emosi. Begitu juga ketika saya berlakon watak dalam filem bergenre seram.

"Dalam filem ini, tak ada banyak babak aksi membabitkan saya. Tapi, ada babak yang membabitkan penculikan dan ia agak mencabar juga buat saya.

"Ini adalah kali kedua saya berlakon dengan Uncle Nam Ron. Dia banyak membantu kerjaya lakonan saya. Bukan dia saja, tetapi isterinya juga banyak membantu saya di lokasi sebelum ini. Kami dah macam keluarga," katanya.

Diminta mengulas mengenai filem Walid yang sudah ditayangkan di beberapa pawagam di Amerika Syarikat, pelakon yang pernah memenangi anugerah dalam kategori Pelakon Kanak-kanak Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-31 menerusi filem Roh ini mengharapkan ia diterima baik.

"Filem ini sudah ditayangkan di Amerika Syarikat. Saya sendiri pun sangka dan saya harap ia diterima baik oleh penonton di sana," katanya.

Memulakan karier lakonan sejak 2016, Qaseh turut berkongsi mengenai kegiatan hariannya sebagai pelajar sekolah dan cabaran dalam mencipta nama sebagai pelakon.

"Saya menjalani kehidupan sebagai pelajar sekolah seperti mereka yang lain. Kalau ada ketinggalan, saya akan hadiri tuisyen dengan guru dari sekolah saya juga. Kawan-kawan pun banyak membantu saya.

"Cabaran dalam membina nama sebagai pelakon memang ada. Tapi, saya cuba tampilkan kelainan dan saya cuba lakukan yang terbaik dalam lakonan saya," katanya.

Bagi menambah nilai dalam karier lakonannya, Qaseh juga menyertai kelas seni bela diri silat bagi mempersiapkan dirinya sekiranya perlu berlakon dalam filem aksi.

"Saya ada asas silat sebab sebelum ini pengarah, Areel Abu Bakar meminta saya sertai kelas silat. Jadi, sedikit sebanyak, ini menjadi persediaan buat saya sekiranya ditawarkan watak untuk naskhah yang memerlukan saya bersilat," katanya.

Peminat Leonardo DiCaprio ini juga benar-benar ingin mencabar dirinya dalam lakonan dan menyimpan impian untuk berlakon di samping Maya Karin.

"Kalau mengenai watak idaman, saya impikan untuk membawakan watak psiko dalam filem mencemaskan.

"Kalau pelakon yang saya impikan untuk berlakon bersama pula, Maya Karin. Saya tak pernah bekerjasama degannya, tetapi memang dari kecil saya kerap menonton filem Jwanita lakonannya dan impikan untuk bekerja dengannya," katanya.

Filem Walid arahan Areel Abu Bakar ditayangkan di pawagam bermula 14 September depan dan membariskan barisan pelakon antaranya Nam Ron, Megat Sharizal, Yusran Hashim, Fad Anuar dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 6:55 AM