ASHANTY (kiri) bersama Aurel dan suami, Atta Halilintar.
ASHANTY (kiri) bersama Aurel dan suami, Atta Halilintar.
Agensi

Jakarta: Penyanyi Ashanty gembira melihat anak tirinya, Aurel Hermansyah semakin akrab dengan ibu kandungnya, Krisdayanti sebaik memaklumkan dirinya hamil.

Ia sekali gus menafikan tanggapan segelintir pihak bahawa dia terasa hati kerana sebelum berkahwin, Aurel dibesarkan di bawah jagaannya dan suami, Anang Hermansyah yang juga bekas suami Krisdayanti. "Saya senang hati saja melihat mereka seperti itu. Lagi pun mereka ada bekerjasama dalam nyanyian, sebab itu perlu sentiasa ada bersama," katanya menerusi program temu bual Youtube KH Infotainment memetik laporan Liputan6.

Ashanty berkata, sejak mendirikan rumah tangga bersama Anang, Aurel yang dijaga mereka jarang bertemu ibunya.

"Namun, itu tidak bermakna hubungan mereka renggang seperti mana yang disangka orang ramai. Walaupun jarang bertemu, hubungan antara Aurel dengan Krisdayanti tidak pernah renggang.

"Aurel sudah bernikah dan tidak lagi tinggal bersama kami, jadi mungkin lebih mudah untuk dia bertemu ibunya. Mereka berdua sejak dulu memang rapat tak pernah renggang. Ketika ibunya ada konsert di Malaysia, Aurel juga ada datang memberi sokongan," katanya.

Menurutnya, sejak berbadan dua, kelakuan Aurel juga semakin manja.

"Dia sekarang sangat manja dan terpaksa dituruti suaminya. Saya ada beri nasihat sebab suaminya juga ada banyak kerja yang perlu dilakukan.

"Saya sendiri setiap hari akan hubungi dia untuk tahu keadaannya. Paling penting saya selalu ingatkan supaya tidak perlu berdiet dan makan makanan yang sihat untuk kebaikan dia dan kandungannya," katanya.

Aurel atau nama sebenarnya Titania Aurelie Nurhermansyah mendirikan rumah tangga dengan selebriti Atta Halilintar pada 3 April lalu dan upacara akad nikah pasangan itu berlangsung di Hotel Raffles, Jakarta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 11:23 AM