PANJOJ pengsan ketika mengendalikan perlawanan antara Kanada dan Peru. -FOTO AFP
PANJOJ pengsan ketika mengendalikan perlawanan antara Kanada dan Peru. -FOTO AFP
Agensi

Kansas City: Seorang pembantu pengadil rebah semasa mengendalikan perlawanan Copa America antara Peru dan Kanada di Kansas City pagi tadi.

Dalam keadaan suhu yang panas membahang di Children Mercy Park, penolong pengadil Humberto Panjoj tiba-tiba rebah menyaksikan perlawanan terhenti seketika pada waktu tambahan separuh masa pertama Kumpulan A.

Suhu di stadium ketika itu mencecah 91 darjah Fahrenheit bersamaan dengan 32 darjah dengan suhu yang dirasai seolah-olah mencapai 101 darjah, dan kelembapan sebanyak 51 peratus.

Penjaga gol Kanada, Maxime Crepeau adalah orang pertama yang bergegas ke pegawai Guatemala selepas melihat insiden itu sebelum memaklumkan pengadil, Mario Escobar, untuk mendapatkan perhatiannya.

Panjoj terpaksa di bawa keluar dengan pengusung sebelum dirawat oleh anggota perubatan dan dibawa keluar dari padang.

Tempat Panjoj di bahagian tepi diganti oleh Ricardo Fabian Baren Cordova dari Ecuador apabila permainan separuh masa kedua bermula.

Dua pertiga daripada daripada kawasan padang itu redup kerana ditutupi tempat duduk di stadium. Namun bahagian Panjoj ditempatkan adalah panas.

Pada separuh masa, hampir setiap peminat yang duduk di sebelah barat arena terpaksa bergerak meninggalkan kawasan berkenaan di stadium untuk mencari tempat duduk yang lebih redup.

CONMEBOL, penganjur Copa America musim panas ini di Amerika Syarikat, mengeluarkan protokol menangani cuaca panas dengan beberapa venue dijangka sangat panas dan kelembapan yang tinggi semasa kejohanan itu.

Awal minggu ini, pertahanan Uruguay, Ronald Araujo mendedahkan dia digantikan semasa perlawanan pembukaan mereka dengan Panama kerana kesan cuaca panas dan dehidrasi.

"Sebenarnya saya masih agak pening sekarang.

"Tekanan (darah) saya turun. Apabila separuh masa pertama tamat saya agak pening dan apabila saya sampai ke bilik persalinan tekanan saya menurun. Doktor berkata ia mengalami sedikit dehidrasi dan saya tidak dapat meneruskan untuk separuh masa kedua," kata pertahanan Barcelona itu.

Berdasarkan ramalan cuaca, suhu di Kansas City dijangka mencecah 34 Celsius hari ini dengan kelembapan sekitar 53 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 9:16 AM