ananOleh Rudy Imran Shamsudin

[email protected]

Berkunjung ke rumah penyanyi Ashanty dan Anang Hermansyah di Jakarta Selatan, Indonesia baru-baru ini, memberi peluang kepada Selebriti Metro Ahad berkongsi kemewahan istana pasangan ini.

Rumah dua tingkat berkonsep Mediterranean itu memiliki struktur bangunan tinggi, besar dan kukuh dengan pilar. Ia turut dilengkapi kolam renang.

Kediaman mewah itu dibina khas Anang untuk isterinya dan juga dua anaknya Titania Aurelie Nurhermansyah atau Aurel, 15, dan Azriel Akbar Hermansyah, 13. Mereka mula mendiami rumah baru itu Syawal lalu.

Melihat rumah baru yang dibina, ia benar-benar mencerminkan istana cinta Anang kepada Ashanty dengan gambar perkahwinan bergantungan.

Ada beberapa bahagian belum siap sepenuhnya dan mengikut perancangan, ada bahagian studio dibina di dalam kawasan rumah itu.

Ashanty atau nama sebenarnya Ashanty Siddik Hasnoputro, 30, yang kini sarat mengandung tujuh bulan berkata, hubungan dengan anak baik dan dia tidak pernah membezakan kasih sayangnya kepada Aurel dan Azriel.

"Namanya pun anak, apatah lagi meningkat remaja, tentu banyak perangainya. Namun satu perkara yang saya puji, anak tidak pernah membelakangkan saya.

"Seperti Aurelie, apa saja masalah, sama ada berkaitan hal peribadi mahupun keluarga, pasti akan dikongsi dengan saya.

"Dari sudut itu, saya bersyukur kerana apa saja yang berlaku saya tahu dan mudah memantaunya. Begitu juga apabila dia memilih menjadi penyanyi seperti ibu bapanya, perkara pertama saya lakukan adalah memastikan dia mengikuti diet betul dan sentiasa bersenam.

"Ia bukan saja untuk menurutkan berat badan, tetapi memastikan dia memiliki stamina apabila menyanyi di pentas," katanya.

Menceritakan kerenah anak tirinya, Ashanty akui Azriel pemalu dan manja. Segala kehendaknya kadangkala harus dituruti, kalau tidak merajuknya berpanjangan.

"Tidak dinafikan saya memanjakan mereka. Maklum saja ayah mereka tegas. Namun kalau degil, kadangkala mereka kena juga ditegur. Apapun, niat saya mahu mendidik mereka," katanya.

Apabila mengetahui dia mengandung, tanpa berselindung Ashanti berkata, Azriel dan Aurelie pada peringkat awal sering berkata dirinya tidak akan menyayangi mereka lagi apabila mempunyai anak sendiri.

"Saya katakan, apa bezanya anak yang bakal saya lahirkan dengan mereka. Bukankah mereka mempunyai bapa sama. Saya juga tidak pernah membelakangkan mereka dan mencurahkan sepenuh perhatian dan kasih sayang.

"Dalam situasi ini, saya cuba menunjukkan bahawa saya tetap mengasihi anak sama rata dan tidak ada bezanya," katanya.

Rumah pasangan ini menjadi pilihan untuk rakaman program IBoom bersama beberapa selebriti Indonesia lainnya. Ia bakal disiarkan di saluran Bintang Indo Pek pada Disember depan.

Ia bermula lewat memandangkan Ashanty harus melayani kehendak media Indonesia yang mahu mendapatkan pandangan apabila suaminya dipilih sebagai Anggota Dewan Terpilih (DPR) dan bersidang buat kali pertama di Dewan Parlimen Indonesia (DPI) pada 1 Oktober lalu.

Ia dianggap satu pencapaian tertinggi apabila Anang bersama beberapa lagi golongan artis, termasuk penyanyi lagu Tenda Biru, Dessy Ratnasari dan pelakon senetron terkenal, Krisna Mukti dipilih mewakili suara rakyat Indonesia di DPI.

Kesibukan Anang bersidang hingga jam 2 pagi menyebabkan temujanji dibuat bagi menjayakan program IBoom terbitan Broadway Media bersama Ashanty dilakukan tanpa kehadiran Anang.

Kata Ashanty, tentu dia gembira apabila suaminya dipilih menjadi wakil suara rakyat di parlimen. "Sebenarnya Anang pada peringkat awal kurang bersetuju menyertai politik kerana ia sangat berbeza dengan kerjaya dan dunia seni.

"Bagaimanapun, apabila dia dijanjikan jawatan menjaga kebajikan dan industri kreatif, tawaran diberi sukar ditolak," katanya.

Kata Ashanty, apabila dipilih menjadi DPR, Anang tidak boleh lagi bergerak aktif sebagai artis dan komposer. Dalam erti kata lain, dia harus menumpukan perhatian kepada kerjaya barunya dan tidak boleh mempunyai apa-apa kepentingan dalam industri.

"Memang ini pengorbanan besar yang harus diambil Anang kerana hilang sebahagian daripada punca pendapatan.

"Namun baginya, dalam keadaan industri hiburan, terutama muzik Indonesia, semakin terjejas dengan penggiatnya berkarya tetapi tidak memperoleh sebarang imbuhan, dia terpanggil untuk membela nasib golongan artis.

"Menjadi suara mengutarakan permasalahan terbabit dalam kerajaan adalah pilihan tepat," katanya.

Ashanty akan meneruskan perjuangan suaminya dengan menyanyi, begitu juga Aurel dan Azriel memilih menjadi penyanyi dan pemuzik dalam usia muda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:03 AM