Krisdayanti (kanan) bersama suami, Raul Lemos. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Krisdayanti (kanan) bersama suami, Raul Lemos. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Syafil Syazwan Jefri


PERTELINGKAHAN antara keluarga penyanyi popular Indonesia, Krisdayanti dan Raul Lemos dengan anak-anaknya, Aurel dan Azriel Hermansyah nampaknya semakin meruncing lebih-lebih lagi apabila isu baru mula timbul pada hari pertama Aidilfitri lalu.

Tiga hari lalu, anak kedua hasil perkahwinan dengan bekas suami, Anang Hermansyah iaitu Azriel berkongsi muat naik dengan kapsyen panjang di Instagram.

"Mimi (ibu), apa salah kami? Apa salah kalau sesekali kami minta diberi perhatian. Dari dulu awal kenal Om (Raul), adakah pernah kami melawan? Adakah pernah kami tidak cium tangan? Adakah pernah kami kongsikan sakit kami dulu? Tak pernah Mimi.

"Kerana kami sayang kepada Mimi, kami tahan semua untuk hargai Mimi. Dan Jiel (Azriel) fikir, semua sudah sama-sama bahagia. Kami (Azriel dan Aurel) sihat dan bukan anak yang nakal. Alhamdulillah, kami jadi seperti sekarang," tulisnya di Instagram.

Dalam muat naik itu juga, Azriel bertanya kepada ibunya yang dipanggil 'Mimi' sama ada Raul pernah berusaha untuk rapat dengan mereka adik-beradik.

"Adakah Om pernah berusaha mendekati kami? Yang ada, selalunya cuma mahu dihormati. Om setiap hari burukkan kami dan membelakangkan kami, kami diam. Tapi, kalau terus dilayan begini, adakah mahu Jiel keluarkan rakaman Om memaki hamun kami di telefon hujung minggu lalu.

Anak Krisdayanti bersama bekas suami Anang iaitu Azriel bersama kakaknya Aurel Hermansyah. FOTO Instagram Azriel
Anak Krisdayanti bersama bekas suami Anang iaitu Azriel bersama kakaknya Aurel Hermansyah. FOTO Instagram Azriel

"Mimi cuma diam melihat Om tulis-tulis 'story' (Instagram Story). Mimi cuma diam malah menyalahkan kami selepas Om memaki hamun. Sampaikan, Bunda (Ashanty) dan Pipi (Anang) juga dimaki," tulisnya.

Menurut Azriel yang cukup dikenali sebagai seorang pendiam dan tidak banyak 'drama' itu lagi, tindakan bapa tirinya itu mengganggu psikologi kakaknya sekaligus membuatkannya tertekan.

"(Tindakan itu) sampai membuatkan kakak (Aurel) tertekan dan mengganggu psikologinya. Jiel pun turut tertekan. Adakah hanya kami yang sentiasa harus berusaha?

"Terakhir, Bunda ajak menyambut Aidilfitri bersama dua keluarga tanpa 'shooting', Mimi juga tak boleh. Kenapa Om bencikan kami sangat sehingga Mimi pun harus mengikutnya dengan menulis di ruangan komen seperti kanak-kanak?" tulisnya.

Katanya, dia malu untuk menulis hal sebegini di media sosial, tapi kesabarannya ada batasan.

"Jiel malu tulis-tulis begini Mimi, tapi kerana Om yang mulakan menulis pelbagai sindiran, kesabaran Jiel juga ada batasnya. Biar kita semua malu sekalian. Biar semua orang tahu apa yang sebenarnya berlaku.

"Tolong Mimi dan Om, jangan sakiti Pipi. Pipi orang yang paling sabar di dunia. Jangan ungkit yang dulu-dulu. Dia selalu mendidik kami supaya bersopan santun dan menghargai Mimi," tulisnya.

Isu timbul apabila Aurel menulis komen di Instagram penyanyi lagu Menghitung Hari itu dan bertanya sama ada dia ada masa untuk bertemu dengan anak-anaknya.

 Krisdayanti kemudiannya berkongsi tangkap layar perbualannya dengan Aurel di WhatsApp dan menafikan bahawa dia mengabaikan anak-anaknya yang kini tinggal bersama Anang dan Ashanty.

Semalam, Raul berkongsi muat naik di Instagram Story yang seperti ditujukan kepada Azriel dan Aurel.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 11:13 AM