TAN Sri Annuar Musa.
TAN Sri Annuar Musa.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Golongan karyawan dan penggiat seni menyambut baik pelantikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang diharapkan mampu menangani pelbagai isu terutamanya nasib mereka pada situasi pandemik Covid-19.

Persatuan seni sedia ada juga mahukan garis panduan yang lebih jelas untuk membolehkan penggiat seni meneruskan kelangsungan hidup dalam industri dan langkah memperkasakan industri kreatif tempatan dapat diteruskan di bawah pentadbiran baharu.

Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, mereka mahu Annuar mesra dan prihatin dengan persatuan dan warga seni.

"Hala tuju Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) perlu diperkemaskan dengan wawasan dan pendekatan baru yang dinamik. Perbincangan dengan persatuan-persatuan perlu diadakan sebelum dasar-dasar baru dilaksanakan.

"Kepimpinan Finas harus dirombak dengan meletakkan orang-orang yang lebih berkebolehan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, manakala Ketua Pegawai Eksekutif perlu dikembalikan kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik dari Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya.

Dia turut meminta Annuar memperkasakan peranan persatuan seni yang berteraskan perfileman iaitu FDAM, Persatuan Pekerja Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

"Wakil persatuan seni kreatif perlu dilantik dalam Ahli Lembaga Pengarah Finas. Calon-calonnya mestilah yang tiada kepentingan perniagaan berkaitan perfileman," katanya.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha mengakui Annuar seorang yang berminat dengan budaya.

"Saya rasa pemilihan beliau sangat tepat sekali. Saya sangat berharap beliau akan membantu industri kita pulih dengan secepatnya.

"Diharapkan juga industri perfileman kita dapat memulakan penggambaran dengan segera. PFM akan buat satu temujanji untuk bertemu beliau dan memberi penerangan mengenai industri dan meminta sokongan serta bantuan dari beliau," katanya.

Sementara itu, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) berharap supaya Annuar membantu anak seni yang majoritinya dalam kesusahan akibat tidak dapat bekerja dan tiada pendapatan.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, kerajaan perlu bekerjasama dengan persatuan industri untuk menyampaikan dasar-dasar mereka menggunakan anak seni yang berpengaruh agar dasar dan maklumat ini sampai kepada rakyat.

"Ini juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan. Selain itu, perlu diwujudkan pelan jangka pendek dan panjang dalam membangunkan industri kreatif negara dengan keutamaan kepada kebajikan anak seni," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Konsortium Industri Rakaman Malaysia (Irama), Ayob Abd Majid berkata, pelantikan ini akan menjadi semangat kepada penggiat seni untuk terus berkarya.

"Kami akan terus menjadi pendukung segala usaha yang akan dilakukan oleh beliau dalam menjalankan tugasnya dengan cemerlang," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pembentukan Kabinet yang menyaksikan pelantikan seramai 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.

Seramai 31 dilantik sebagai menteri dan 38 lagi sebagai timbalan menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 5:59 PM