ANTARA babak dalam filem Pulau.
ANTARA babak dalam filem Pulau.
Syafil Syazwan Jefri


PERSATUAN Penerbit Filem Malaysia (PFM) mewakili industri perfileman tempatan merayu Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil supaya memberi fokus kepada pembangunan industri kreatif negara.

Presiden PFM, Pansha dalam kenyataannya turut memohon supaya Fahmi membuat perlantikan Ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) secepat mungkin.

"Bagi pihak industri perfileman tempatan, PFM merayu sekali lagi kepada Menteri Komunikasi dan Digital untuk memberi fokus terhadap pembangunan industri kreatif negara dan membuat pelantikan Ahli Perbadanan Finas secepat mungkin kerana begitu ramai penerbit menderita sekarang.

"Mempercepatkan proses lantikan akan memberi bantuan besar kepada industri perfileman pada masa yang sukar ini," katanya.

Menurut Pansha, Finas selaku agensi kerajaan tidak dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan lancar selagi posisi Pengerusi dan Ahli Perbadanan Finas belum diisi.

"Agensi kerajaan Finas di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang seharusnya bertanggungjawab dalam pembangunan industri perfileman tempatan tidak dapat berfungsi untuk menjalankan dasar industri sedia ada kerana sehingga kini Pengerusi dan Ahli Perbadanan Finas belum dilantik.

"Walaupun rayuan sudah dibuat kepada KKD untuk mempercepatkan proses pelantikan, namun tiada keputusan.

"Permohonan untuk menayangkan filem tempatan melalui Jawatankuasa Skim Wajib Tayang Finas semakin bertindih kerana ketiadaan lantikan baru Pengerusi Skim Wajib Tayang Finas yang terdiri dari seorang dari kalangan Ahli Perbadanan Finas," katanya.

PANSHA
PANSHA

Tambahnya, situasi yang berlaku kepada filem Pulau yang baru-baru ini diharamkan penayangannya di Terengganu juga merisaukan.

"Tambah lagi dengan keputusan dasar peringkat Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Finas tidak diguna pakai oleh kerajaan negeri merujuk kepada filem Pulau.

"Ia juga lebih merisaukan penerbit atau pelabur peringkat tempatan mahupun antarabangsa pada masa akan datang untuk membabitkan diri dalam pembangunan filem tempatan kerana dasar kerajaan yang tiba-tiba berubah sekelip mata dan cukai hiburan 25 peratus yang amat tinggi masih dikenakan terhadap setiap penjualan tiket oleh Kerajaan Persekutuan (Wilayah Persekutuan) dan kerajaan negeri," katanya.

Dalam kenyataan sama, Pansha juga memaklumkan bahawa PFM sudah menjalankan kajian terperinci mengenai kutipan pecah panggung filem tempatan yang kini berada di ambang keruntuhan.

"PFM sudah menjalankan kajian kutipan 'box office' (pecah panggung) filem tempatan yang dikeluarkan oleh Finas secara terperinci tiga tahun sebelum ini dan mendapati industri perfileman tempatan di ambang keruntuhan," katanya.

PULAU diharamkan penayangannya di Terengganu.
PULAU diharamkan penayangannya di Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 6:30 AM