Pansha
Pansha
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) menyambut baik rombakan memisahkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menjadi dua kementerian iaitu Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Presiden Gafema, Pansha berkata keputusan itu mampu memberi impak terbaik buat industri kreatif secara keseluruhannya apabila wujud sistem lebih strategik.

"Gafema yakin dan percaya dengan pemisahan ini akan menjadikan teratur dan tersusun. Selain itu memberi kesan positif memperkasakan pembangunan ekonomi serta merangsang pertumbuhan industri kreatif dalam negara.

"Dalam masa yang sama, industri kreatif juga menyokong lain-lain industri secara keseluruhan yang berkaitan," katanya.

Menurut Pansha, agensi kerajaan yang berkaitan satu sama yang lain seperti JKOM, MCMC, Finas, IPPTAR, JAPEN, MyCreative Ventures, RTM, Bernama amat bersesuaian diteruskan Kementerian Komunikasi dibawah Fahmi Fadzil selaku Menteri Komunikasi.

"Kefahaman Fahmi berkaitan aktiviti komunikasi melalui seni budaya bukan sekadar hiburan adalah sangat dikagumi bagi membantu memelihara, melestarikan dan menyebarkan warisan budaya dalam masyarakat.

"Usaha ini diterjemahkan beliau melalui 'townhall' bersama industri kreatif yang lalu dan sudah dibuktikan melalui pemakluman dalam Belanjawan 2024 (Belanjawan Madani Kedua)," katanya. 

Gafema juga berterima kasih atas usaha serta keperihatinan Fahmi, Menteri dan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri yang tidak jemu-jemu mendengar rintihan dari penggiat seni sebelum ini.

Gafema diwakili 11 persatuan iaitu Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Kebajikan Penghibur-penghibur India Malaysia (MIEWA), dan Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM).

Tidak ketinggalan, Persatuan Pasca Produksi, Animasi Dan Kandungan Kreatif (Postam), Persatuan Animasi Malaysia (Animas), Persatuan Tinta Karya Malaysia (Tinta Karya), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Pertubuhan Pencipta Kandungan Kreatif Digital Malaysia (DCAM).

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 12:55 PM