WANNS.
WANNS.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Wanns Ahmad terkejut dan teruja apabila dihubungi penyanyi, Duncan James yang juga anggota kumpulan popular dari United Kingdom, Blue.

Wanns berkata, dia pada awalnya bermain permainan di Facebook dan tiba-tiba menerima mesej daripada individu itu.

"Dia mesej saya di aplikasi permainan video di Facebook dan tertarik dengan 'blue tick' di Facebook saya. Apabila mendapat tahu saya dari Malaysia, dia nampak begitu teruja.

"Dia kemudiannya meminta saya supaya mengikut (follow) akaun Instagramnya dan di situ, kami berbual lebih panjang. Pada awalnya, saya tak perasan itu adalah Duncan tapi bila saya lihat Instagram, baru saya tahu bahawa dia adalah anggota kumpulan Blue," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Wanns, Duncan berkongsi cerita mengenai zaman kegemilangan Blue dan memiliki ramai peminat di Malaysia.

"Katanya, mereka pernah melalui zaman kegemilangan di Malaysia dan di sini ada ramai peminat mereka. Selain itu, kami banyak berbual mengenai kehidupan dan situasi pandemik yang melanda dunia," katanya.

Wanns mengakui bahawa Duncan adalah individu dan artis yang begitu peramah.

"Saya pun tak sangka dia begitu peramah. Tak sombong langsung walaupun kami hanya kenal dan berbual di ruang mesej Instagram," katanya.

Selain Duncan, Blue turut dianggotai Antony Costa, Lee Ryan dan Simon Webbe. Blue yang ditubuhkan pada 2000 di London sudah menghasilkan lima album iaitu All Rise pada 2001, One Love (2002), Guilty (2003), Roulette (2013) dan Colours (2015).

Mereka popular dengan lagu All Rise, One Love dan Too Close.

Terbaru, Wanns menantikan keizinan untuk aktiviti penggambaran disambung semula selepas penggambaran drama Mr Bibik lakonannya tergendala.

Drama itu yang akan ditayangkan di slot Lestari TV3 juga membabitkan beberapa pelakon lain antaranya Zara Zya dan Saharul Ridzwan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 7:09 PM