Freddie Fernandez
Freddie Fernandez
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan terus membantu menjaga kebajikan dan pembangunan industri seni dan kreatif negara.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, beliau percaya Perdana Menteri memahami struktur industri seni dan kreatif negara dan amat mengharapkan ia turut dititik beratkan seiring industri yang lain.

"Saya amat mengharapkan beliau meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang amat baik sekali di mana pelbagai perkara berbentuk bantuan dan insentif diwujudkan bagi membantu warga seni mengharungi cabaran pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, situasi sekarang amat meruncing buat industri seni dan kreatif tempatan dengan pelbagai masalah yang dihadapi semua penggiat seni.

"Tiada filem dapat ditayangkan di pawagam, tiada persembahan pentas atau acara dapat dilaksanakan dan penggiatnya pastinya lumpuh. Ramai yang terpaksa menjalankan aktiviti alternatif seperti berniaga kecil-kecilan untuk kelangsungan hidup.

"Ia satu sisi positif, namun pastinya pembikinan karya dan kerja-kerja seni terpaksa dikurangkan dan menjadi satu kemerosotan buat industri seni dan kreatif tanah air kini. Kami benar-benar bergantung harap kepada kerajaan dari segi mendapatkan kebenaran atau polisi untuk terus menjalankan kerja seperti dulu," katanya.

Freddie berkata, jika industri seni dan kreatif terus ditutup di atas faktor prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan lebih lama pastinya ia akan menguncupkan lagi kerja-kerja mereka.

Freddie tidak teragak-agak mengharapkan keprihatinan Perdana Menteri berkenaan industri ini supaya seiring dengan industri lain.

"Saya amat percaya beliau memahaminya. Dalam masa sama, saya menyeru semua persatuan berdamai dan bersatu bangunkan kembali industri ini.

"Selepas 30 tahun saya terbabit dalam pelbagai persatuan dan sering berselisih pendapat, rasanya kini kita perlu bersatu dan melupakan segala yang sudah berlaku. Industri seni dan kreatif bukan lagi tenat, malah dalam situasi reset. Ia perlu kesatuan dari semua penggiat industri untuk membangunkannya kembali," katanya.

Menurut Freddie, sekarang bukan masa yang sesuai buatnya dan yang lain terus mencari salah sesama sendiri.

"Kini kita sama-sama harus mencari titik persamaan. Saya terinspirasi apabila melihat jiwa besar yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri baharu yang mempelawa semua parti politik bekerjasama seperti sebuah keluarga.

"Ia demi kepentingan negara di mana pemimpin negara sanggup mengenepikan perselisihan dan perbezaan ideologi demi membangunkan kembali negara di dalam situasi mencabar kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 10:09 PM