DAYANA Roza mendedahkan puteri sulungnya yang dilahirkan pramatang.
DAYANA Roza mendedahkan puteri sulungnya yang dilahirkan pramatang.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Dayana Roza yang selamat menimang cahaya mata sulung pada 20 Julai lalu mendedahkan bayi perempuan yang diberi nama Astrid Raheeya itu dilahirkan pramatang.

Dayana, 30, atau nama sebenarnya Nur Dayana Kamsun Baharin berkata, dia sepatutnya dijangka bersalin bulan depan.

"Alhamdulillah, anak sudah berusia sebulan lebih. Ketika ini keadaan serta kesihatan saya dan anak semuanya baik-baik saja. Anak sulung saya dilahirkan dengan berat 2.4 kilogram (kg) jam 11 malam di pusat perubatan di ibu kota. Keadaan hingga saat ini semua terkawal. Cuma ikutkan perihal lahir tak cukup bulan ini sudah jadi perkara biasa dalam hidup keluarga saya.

"Saya sendiri lahir tak cukup bulan, malah adik saya pun mengalami situasi sama. Jadi saya rasa tak pelik. Saya bersyukur tak ada sebarang komplikasi terhadap anak saya," katanya.

Menurut Dayana, bayi yang dilahirkan pada sambutan Aidiladha itu sama seperti suaminya, A'dale Adham Ayahudin, 34.

"Anak bertuah ini yang tak sabar keluar awal nak tengok dunia. Syukur dia sihat, menyusu badan penuh dan berat mencecah satu kg dalam tempoh sebulan.

"Dia lahir pada sambutan Aidiladha, sama macam baba (bapanya). Dia kegemaran baba sekarang. Setiap kali suami buat panggilan video mesti tanya mana Astrid. Saya tercampak jauh dah. Inilah nasib seorang mama yang kurang kasih sayang dan tak cukup tidur," katanya.

Dayana dan suami melangsungkan pernikahan pada 25 Disember tahun lalu di Masjid Negara, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 4:21 PM