Dayana Roza bersama A'dale Adham Ayahudin.
Dayana Roza bersama A'dale Adham Ayahudin.
Najiy Jefri


PELAKON Dayana Roza selamat melangsungkan majlis pertunangan dengan ahli perniagaan dikenali A'dale Adham Ayahudin, 33, di Damai Glass House, Kuala Lumpur hari ini.

Dayana atau nama sebenar Nur Dayana Kamsun Bahari, 29, berkata, mereka merancang untuk mendirikan rumah tangga pada pertengahan Disember depan.

"Kami sudah berkawan hampir enam tahun. Jujur dia pernah ajak saya kahwin, empat tahun lepas. 

"Tapi, saya tolak sebab dia jenis suka menyakat dan dia juga kawan gaduh saya. Tak sangka, dia mendekati saya penghujung tahun lepas selepas tahu saya sudah kembali solo.

"Kami merancang untuk berkahwin pada Disember depan selepas empat bulan melangsungkan pertunangan," katanya.

Pada majlis itu, pihak Dayana menyerahkan lima dulang hantaran yang mana, dibalas tiga oleh pihak lelaki.

Majlis pertunangan itu hanya dihadiri oleh saudara dan rakan terdekat sahaja dan diadakan bersempena sambutan ulang tahun kelahiran tunangnya yang ke-33 hari ini.

Terdahulu, Dayana pernah mengakui dia menjalin hubungan cinta dengan seorang jejaka sejak awal tahun ini.

Ahli perniagaan itu adalah kenalannya dan mereka sudah berhubungan sejak enam tahun lalu.

Namun, bibit percintaan mereka mula berputik pada awal tahun ini sebelum Dayana mula memuat naik fotonya bersama jejaka itu pada bulan lalu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 7:00 PM