Yus (dua dari kanan) bersama pemain gitar, Abu (kanan) dan Man (kiri) serta AG (dua dari kiri) yang membuat keputusan meninggalkan MAY.
Yus (dua dari kanan) bersama pemain gitar, Abu (kanan) dan Man (kiri) serta AG (dua dari kiri) yang membuat keputusan meninggalkan MAY.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pemain bass kumpulan MAY, Yus, 58, tidak menyangka pemain dram mereka, Man yang menubuhkan kumpulan itu di Ipoh, Perak bersamanya dengan pemain gitar, Abu membuat keputusan untuk berundur.

Yus ketika dihubungi berkata, dia pasti Man mempunyai sebab tersendiri dengan membuat keputusan itu.

"Mungkin ada perkara-perkara tertentu seperti masalah peribadi yang kronik dan tak dapat dielakkan.

"Apapun saya dan Abu akan teruskan juga perjuangan MAY. Kami masih ada lagi dalam industri muzik tanah air. Tiada masalah untuk kami terus aktif. Yang penting dua tonggak MAY masih ada," katanya.

Bagaimanapun, Yus menerima keputusan Man itu dengan hati yang terbuka.

Perkara itu diumumkan Man menerusi saluran YouTube miliknya, Man May Channel, Rabu lalu.

Harian Metro semalam melaporkan, Man membuat keputusan itu kerana melihat kerjaya bersama MAY semakin mengecil berikutan tiada tawaran persembahan sejak penularan Covid-19 hampir dua tahun lalu.

Man juga mahu memberi fokus dengan perniagaan dalam talian menjual baju X MAY, cenderahati dan pelitup muka berkonsep rock kapak.

Turut meninggalkan MAY ialah penyanyi baru mereka iaitu AG.

Yus berkata, dia dan Abu akan mencari pengganti Man dan AG.

"Man yang membawa AG menyertai MAY. Jadi, terpulanglah kepada dia. Banyak lagi bakat hebat dalam nyanyian di luar sana yang boleh jadi penyanyi MAY.

"AG masuk pun atas kehendak Man. Kami sebenarnya tak suka dia menyanyi seperti Mus (bekas penyanyi). Buat apa nak tiru Mus kerana Mus memang dah terbaik," katanya.

Ditanya mengenai keputusan Man menggunakan nama Man X MAY sekarang, Yus menasihatkan sebaiknya menggunakan nama yang lebih sesuai.

"Kalau boleh jangan kaitkan lagi dengan MAY. Dia dah dikenali dan peminat pun kenal dia. Macam Mus bagus tukar nama lain.

"Nanti orang ingat MAY berpecah dan saya tak nak jadi seperti beberapa kumpulan yang terbahagi kepada dua," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yus mengakui keadaan kesihatannya juga kurang memuaskan.

"Saya ada masalah mata dan baru menjalani pembedahan. Selain itu saya juga ada masalah saraf di sebelah tangan kanan. Ia buatkan saya sukar nak berlatih. Sekarang saya sedang tunggu untuk proses pembedahan," katanya.

Pada Januari 2019, penyanyi mereka, Mus berundur dari kumpulan itu atas masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 9:05 PM