Man (dua dari kiri) bersama AG, Lan Taro dan Oney.
Man (dua dari kiri) bersama AG, Lan Taro dan Oney.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Saya bukan mendahului atau bersaing dengan Yus dan Abu, sebaliknya saya berusaha dengan cara saya dan mereka usaha dengan cara mereka,"

Demikian penjelasan bekas pemain dram kumpulan May iaitu Man atau nama sebenarnya Mohamad Saarip Yaakob, 56, yang kini tampil dengan single sulung berjudul Mahligai.

Man berkata, dia muncul dengan single projek khas itu secara kerjasama dengan penyanyi AG dan bekas pemain gitar kumpulan Burnmark iaitu Joe berserta anaknya, Johanna (keyboard) dan Boy (pemain bass).

"Ia dikenali sebagai Max Ft Joe Burnmark dimana, saya dan AG bergabung dengan mereka hanya untuk menyiapkan projek khas ini tanpa babitkan kontrak.

"Muzik untuk lagu ini saya cuba larikan sedikit dari konsep May. Namun, saya pasti tidak boleh 'lari' dari terus dikaitkan dengan bayangan May. Nama (May) ini pun memang dah melekat dengan saya.

"Pada Januari nanti, saya akan tampil pula dengan single baharu lagi bersama AG, Lan Taro (pemain gitar) dan Oney (pemain bass). Ia sesuatu yang berbeza kerana Oney sebelum ini dikenali sebagai penyanyi," katanya kepada Harian Metro.

Man mengharapkan peminat menerima hakikat rezekinya bukan lagi bersama May dan turut mendoakan agar Yus dan Abu terus berjaya.

"Semoga mereka berjaya dengan perjalanan bersama barisan baharu dan apa yang dilakukan. Saya kini berjuang untuk 'line up' yang dipilih sendiri. Perjuangan kami sekarang di jalan berbeza, tapi masih kekal berkawan dan tidak bermusuh.

"Bidang kami sama saja, tapi jalan dipilih itu sudah berlainan. Begitu juga dengan Mus, dia cari jalannya dan dah berjumpa. Termasuk, Yus dan Abu juga dah ada platform mereka dan usaha kami semua berjaya," katanya.

Man meninggalkan May pada 28 Julai lalu selepas 35 tahun bersama kumpulan rock legenda itu, manakala Mus (vokalis) terlebih dulu meninggalkan May pada Januari 2019.

Sementara itu, tayangan muzik video rasmi single Mahligai kini boleh ditonton menerusi YouTube Warisan Records.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 9:19 PM