Afieq Shazwan
Afieq Shazwan
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan, 26, tidak terlalu memikirkan isu curang serta kehadiran 'orang ketiga' dalam perhubungan yang hangat diperkatakan kini kerana status dirinya masih bujang.

Afieq atau nama sebenarnya, Mohammad Shafieq Shazwan Zamros berkata, dia tiada jawapan yang spesifik untuk mengulas isu itu memandangkan masih bujang dan belum ada kekasih lagi.

"Apabila ada pihak media bertanya pada saya mengenai isu curang, orang ketiga yang didakwa 'penyondol' baru-baru ini, saya hanya mampu menjawab masih solo dan bujang.

"Saya tak tahu nak jawab apa sebabnya daripada laporan berita dibaca, kisah babitkan 'penyondol' adalah wanita dengan lelaki sudah berkahwin, manakala saya pula masih bujang dan tiada kekasih.

"Kalau dah bujang macam saya, siapa yang nak 'sondol'. Namun, saya doakan terbaik dan dipermudahkan segala urusan kepada mereka yang berhadapan masalah ini (orang ketiga)," katanya kepada Harian Metro.

Afieq yang meledak dalam lakonan dengan watak 'anak ikan' atau 'sugar baby' menerusi drama Rampas Cintaku di platform penstriman iQIYI tahun lalu berkata, dia juga bersyukur tidak diganggu wanita kaya yang ingin 'membelanya'.

"Alhamdulillah, saya hanya dikecam sebagai Rizal dalam drama saja kerana watak dilakonkan menjadi.

Realitinya, syukur saya tidak diganggu atau menerima tawaran daripada mana-mana wanita sebagai 'sugar mama'.

"Saya hanya bekerja dan apa yang dilakukan dalam drama itu atas dasar kerja semata-mata. Jadi, apabila ada orang panggil saya 'anak ikan' atau 'sugar baby', biarlah sebab mereka dah menonton drama saya," katanya.

Ditanya juga pembabitannya dalam sekuel drama Rampas Cintaku 2, Afieq berkata dia masih dalam pertimbangan.

Katanya, banyak perkara yang perlu diambil kira dan dia menyerahkan kepada pihak pengurusannya.

Sempena Aidilfitri tidak lama lagi, Afieq kini muncul dengan lagu hari raya baharu, Terpaling Di Hari Raya bersama penyanyi dari FMC Music iaitu Wany Hasrita, Muna Shahirah, Tajul, Wani Syaz dan Tuah Adzmi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 2:20 PM