HAIKAL Farid tampil dengan single ketiga ciptaan Adi Priyo.
HAIKAL Farid tampil dengan single ketiga ciptaan Adi Priyo.
Norhayati Nordin


MESKIPUN industri hiburan tanah air kini terjejas akibat penularan Covid-19, kemunculan bakat baharu dalam bidang nyanyian masih ramai. Bahkan, ada antaranya sudah menghasilkan single.

Begitu juga dengan penyanyi dikenali Haikal Farid, 22, yang kini muncul dengan single ketiga berjudul Tak Terganti hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Adi Priyo yang dilancarkan pada 18 Januari lalu.

Mengulas pembabitannya, Haikal atau nama sebenarnya Mohamad Haikal Farid Rizal berkata dia sudah aktif menyanyi sejak 2017 lagi dan ketika itu berusia 18 tahun. Ujarnya, dia memang minat dalam bidang nyanyian.

"Ketika kemunculan awal itu, saya terus dapat rezeki merakamkan single solo pertama berjudul Genggam. Diikuti, setahun selepas itu, saya rakamkan pula single kedua berjudul Demam Cinta.

"Menariknya lagi, untuk single ini (Demam Cinta) saya dapat peluang menyanyikan karya lagu hasil ciptaan sepenuhnya penyanyi dan komposer, Asfan Shah. Bagi saya, mungkin ada rezeki bakat nyanyian dipertaruhkan dapat bersinar," katanya.

Apapun, perjalanan kerjaya setiap insan itu berbeza. Namun, single Demam Cinta berjaya menjadi lagu tema (OST) untuk drama Senafas Rindu yang sedikit sebanyak membantu nama dan bakat nyanyian Haikal menyerlah dan dikenali.

"Bagaimanapun, saya sangat gembira apabila dapat lagi rezeki untuk merakamkan single Tak Terganti. Bagi saya, lagu ini kena dengan jiwa termasuk melodi dan liriknya yang mantap. Saya pun sudah membuat yang terbaik.

"Namun, berikutan negara masih lagi dilanda pandemik Covid-19 maka, aktiviti promosi dan publisiti lagu berhadapan kekangan. Saya akur dengannya dan takkan patah semangat pun untuk terus mencuba.

"Semuanya tetap bergantung pada rezeki Allah. Kalau belum masanya untuk saya sekarang, itu bermakna harus mencuba lagi. Bagi saya, selagi ada ruang dan peluang dalam kerjaya nyanyian ini, saya takkan melepaskan begitu saja," katanya.

Berbicara pengalamannya selama beberapa tahun aktif menyanyi, Haikal berkata dia pernah dipilih menyertai program realiti TV, Immortal Songs di TV3 pada September tahun lalu untuk minggu penyanyi lagenda, Datuk M Nasir.

"Ia adalah pengalaman pertama saya menyertai program realiti TV dan tak dinafikan agak gementar juga. Ditambah, ketika itu saya kena bersaing dengan penyanyi berpengalaman seperti Stacy, Sufian Suhaimi dan Yonnyboii.

"Nak tewaskan mereka, mungkin sukar. Tapi, kenangan paling manis untuk saya mengingatinya apabila berjaya dapat nombor dua di bawah markah Stacy sekali gus saya sebenarnya mampu mengalahkan Sufian dan Yonny ketika itu," katanya.

Menurut Haikal, apapun dia tidak menafikan pembabitan dalam program realiti TV itu memang banyak membantunya sebagai penyanyi baharu untuk mencari tapak bagi memahat nama dan bakat.

"Sekiranya, saya dapat lagi peluang untuk terbabit dakam program realiti TV pada masa akan datang, insya- Allah saya tidak menolak. Saya mahu cabar diri untuk bersaing dengan peserta lain, timba ilmu dan kumpul pengalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 6:43 AM