DIDIE Alias berjanji akan mematuhi SOP pada acaranya di PWTC.
DIDIE Alias berjanji akan mematuhi SOP pada acaranya di PWTC.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Artis serba-boleh, Didie Alias memberi jaminan acara Raya Bersama Che Salmah yang bakal diadakan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Didie berkata, SOP itu dianggap tidak membebankan kerana dia sudah menyediakan pasukan yang mencukupi untuk memantau segala keperluan sepanjang acara diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini pada 30 April hingga 2 Mei ini.

"Sepatutnya buat tahun lalu, tapi disebabkan tiada sebarang acara dibenarkan, kita cuba buat tahun ini. Alhamdulillah, pihak MKN memberi kelulusan dengan SOP yang ditetapkan.

"Acara tidak terlalu 'havoc' sebab masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lagi. Apabila dapat surat dari MKN berkaitan SOP, kita akan pastikan pengunjung ikut dan patuh SOP sebab ada had tertentu dari segi kapasiti dewan.

"SOP ditetapkan bagi saya tak ada masalah. Kalau orang datang dan terus membeli walaupun tak berapa maksimum ia sudah cukup bagus. Kita mahu yang datang ada nilai untuk terus membeli dan bukan sekadar berjalan-jalan saja. Kita juga akan buka satu laluan masuk dan keluar selain menempatkan kakitangan yang ramai bagi memastikan pematuhan SOP," katanya kepada Harian Metro.

Raya Bersama Che Salmah bakal membabitkan 120 usahawan selain menampilkan barisan artis popular tanah air dan pelakon drama Takdir Yang Tertulis (TYT).

"Untuk kali ini banyak aktiviti yang bukan dalam skala besar. Kita juga akan pilih keluarga yang memerlukan dan kami akan bantu dengan menyediakan barang keperluan hari raya dan memberikan duit raya.

"Ada juga kehadiran pelakon drama TYT sepanjang tiga hari. Ada tempat khas untuk mereka di aras dua yang mana mereka akan beramah mesra dengan pengunjung selain majlis berbuka puasa bersama anak yatim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 4:06 PM