FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) berharap prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam, terhadap penggambaran drama atau filem diperhalusi semula.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, penggambaran yang dibenarkan itu hanya terhad di dalam studio saja selain menyifatkan SOP itu cukup membebankan penggiat seni.

"MKN pernah meluluskan SOP untuk industri kreatif semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama tahun lalu, jadi kami memohon SOP yang sama digunapakai supaya tidak membebankan syarikat produksi, pelakon dan kru.

"Saya mohon disegerakan penggambaran di luar studio. Kalau nak sentuh skop studio, negara kita belum ada studio secanggih di Hollywood. Kerajaan mungkin beranggapan dan ingat industri seni kita seperti di sana tapi hakikatnya tidak. SOP baru ditetapkan juga agak berat dan ia membabitkan kos besar sebenarnya," katanya.

Menurut Jurey, arahan untuk semua pekerja industri terutama yang terbabit dalam penggambaran untuk membuat ujian saringan Covid-19 adalah tidak wajar.

"Dalam pada semua sektor dibenarkan, hanya penggambaran kena ujian saringan. Apa rasional MKN dalam perkara ini? MKN perlu beritahu kami apa perbezaan menjalani penggambaran dengan pasar raya, kedai makan dan kedai gunting rambut yang boleh beroperasi tanpa perlu ujian saringan.

"Selain perlu permit kebenaran perakuan penggambaran daripada Finas, sanitasi untuk kenderaan yang digunakan juga perlukan kos. Lokasi studio itu pun perlu disanitasi. Semuanya kos kepada penerbit. Sedangkan dalam kontrak TV, ia tak termaktub.

"Takkan nak suruh pelakon dan kru tanggung kos berkenaan. Sedangkan selama ini SOP terdahulu dengan memeriksa suhu dan mendaftar menerusi aplikasi My Sejahtera sudah memadai. Jujur ia menjadi beban kepada produksi. Bagaimana nak suruh kos sebegitu ditanggung pelakon dan kru, sedangkan gaji sebelum ini pun seperti kais pagi makan pagi," katanya.

Terdahulu, MKN mengeluarkan SOP untuk enam aktiviti pembangunan kandungan kreatif dalam sektor industri kreatif, hari ini.Enam aktiviti yang dibenarkan itu adalah produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital, rakaman lagu di studio, pra-produksi penggambaran dan penggambaran di studio. 

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 8:37 PM