Anak Didie, Nur Dayini (dua dari kanan) disahkan positif Covid-19.
Anak Didie, Nur Dayini (dua dari kanan) disahkan positif Covid-19.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Anak keempat pelakon Didie Alias iaitu Nur Dayini, 23, disahkan positif Covid-19, Rabu lalu sebelum dibawa ke Pusat Kuarantin MAEPS, Serdang, kelmarin.

Didie berkata, anaknya dijangkiti wabak itu selepas menjaga bapanya, pelakon Ridzuan Hashim yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung dan jangkitan kuman di paru-paru.

Redzuan yang juga bekas suami Didie turut disahkan positif virus itu dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani rawatan, minggu lalu.

"Dua orang anak saya iaitu anak keempat dan kelima memang menjaga bapa mereka beberapa hari sebelum berpuasa akibat serangan jantung. Dia kemudian dibenarkan pulang ke rumah selepas keadaannya baik.

"Tiba tiba bapa mereka mengalami kali sesak nafas dan cirit-birit. Saya minta mereka hantar ke hospital. Ketika itu semua okay dan tak ada kena mengena dengan Covid-19.

"Tanpa disangka dapat tahu ada pesakit Covid-19 yang berada di wad berkenaan tanpa pengetahuan mereka. Apabila bekas suami buat ujian saringan, didapati sah positif. Selepas dia dapat keputusan, beberapa hari selepas itu anak saya yang nombor empat mengadu mula demam dan tekak kering.

"Hasil ujian saringan dia positif dan terus di hantar ke Pusat Kuarantin MAEPS, kelmarin untuk mendapatkan rawatan," katanya kepada Harian Metro.

Didie berkata, itu antara dugaan menimpa dirinya dalam pada dia sibuk menguruskan acara Raya Bersama Che Salmah yang berlangsung di World Trade Centre (WTC), di sini, sejak semalam sehingga esok.

"Alhamdulillah, keadaan dia bertambah baik cuma dia ada mengadu yang dia rindukan alat tulis yang berada di rumah. Syukur juga, bapanya sudah pulang ke rumah selepas menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.

"Keadaan bapa dia pun semakin baik cuma masih jalani kuarantin di rumah. Ini adalah dugaan terbesar di bulan Ramadan apatah lagi, ketika acara bazar saya sedang berlangsung.

"Sebelum itu juga akaun Instagram saya digodam dan baru dapat akses semula semalam dengan bantuan pihak SRC Record Music," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 8:52 PM