Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Kepada isteriku, usah risau diperkata. Sedikit kesenangan yang awak terima kini kerana itulah nikmat Allah berikan atas ujian sebelum ini."

Itu luahan isi hati pelawak Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah kepada isteri tercinta, Nur Hasanah Yahaya yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-31, hari ini.

Achey berkata, isterinya itu seorang yang cukup cekal dalam kepayahan dan hebat kesabaran.

"Susahnya dahulu ketika mula berkahwin, takkan saya lupa. Namun, dia tenang hadapi bersama. Dia pernah menjadi tukang cuci di bank, menjual burger depan bengkel beratapkan kanvas dan gadai gelang perkahwinan. Apa yang dia tak buat dulu demi bantu saya? Semua yang halal dia buat janji lepas.

"Dia juga orang pertama yang percaya dengan kesungguhan saya untuk uji bakat. Dia juga insan yang buat 'prop' saya sampai saya dapat masuk TV. Dia juga percaya dengan niat saya dalam dunia hiburan yang penuh dugaan," katanya.

Menerusi hantaran di Instagram, Achey berkata, isterinya juga sentiasa mengingatkan mengenai betapa pentingnya berbakti kepada ibu bapa.

"Dia sentiasa mengingatkan saya mengenai pentingnya ibu bapa. Apa yang terbaik untuk mereka semua, berbakti sehingga hujung nyawa," katanya.

Achey dan isteri mengambil anak angkat perempuan pada 2018 yang diberi nama Nur Tiara Zinnirah Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 2:37 PM