ACHEY dan isteri, Nor Hasanah tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan zuriat. FOTO Arkib NSTP
ACHEY dan isteri, Nor Hasanah tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan zuriat. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Hampir sembilan tahun menanti kehadiran cahaya mata, pelawak Achey dan isteri Nor Hasanah Yahaya tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan zuriat.

Achey berkata, isterinya bakal menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF), namun perlu mendapatkan berat badan yang ideal sebelum melakukan prosedur IVF.

"Semua tahu yang bukan mudah untuk buat IVF ini. Atas nasihat doktor isteri saya kena turunkan berat badan dan utamakan kesihatan diri.

"Jadi, sekarang ini aktiviti sukan yang dia buat adalah berbasikal seperti yang dipraktikkan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebelum melakukan prosedur IVF. Itu yang dia berbasikal untuk kuruskan badan sedikit," katanya. Menurut Achey, walaupun rawatan IVF mempunyai bermacam risiko, namun dia dan isteri akan tetap meneruskan rawatan terbabit.

"Insya-Allah awal tahun depan dia bakal mulakan rawatan IVF. Isteri saya pun sudah bersedia. Saya tetap akan teruskan. Kami sudah hampir 10 tahun tak ada hasil. Jadi, sekurang-kurangnya kita mencuba.

"Kalau gugur sekalipun, sekurang-kurangnya ia dah duduk dalam (rahim). Setidak-tidaknya merasalah juga," katanya.

Achey mendirikan rumah tangga dengan Nor Hasanah Yahaya pada 2011. Pasangan terbabit mengambil seorang anak angkat, Tiara Zinnirah pada Mei 2018 yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 4:31 PM