Justin Bieber
Justin Bieber
Agensi

 

Penyanyi, Justin Bieber, 27, dalam temubual bersama majalah GQ berkongsi mengenai masalah pengambilan dadah yang pernah dialaminya ketika melalui proses transformasi daripada seorang remaja liar kepada dirinya kini.

Menurut Justin, disebabkan masalah pengambilan dadah yang tidak terkawal itu membuatkan pengawal peribadinya memeriksa nadinya ketika dia sedang tidur untuk memastikan dia masih hidup.

"Nampak seperti saya sudah menempa pelbagai kejayaan dan dalam hati saya masih ada kesedihan dan kepedihan. Ada isu yang masih tak dapat saya selesaikan.

"Saya fikir, kegemilangan dan kejayaan itu boleh memastikan semuanya berada dalam keadaan baik. Jadi, dadah umpama satu 'ubat' untuk memudahkan saya melalui semuanya," katanya.

Melalui fasa turun dan naik dalam rumah tangga bersama isterinya, Hailey Baldwin, Bieber juga bersyukur kerana dikurniakan wanita yang mencintainya.

"Saya ada isteri yang saya sayang, sentiasa buatkan saya berasa selesa dan selamat. Saya berasa, hubungan saya dengan Tuhan juga dalam keadaan baik," katanya.

Single sulungnya, One Time mendapat pengiktirafan platinum pada 2009 dan pada ketika itu, usianya baru sahaja 15 tahun.

Sejak dari itu, dia mula menjadi bintang dan dikenali di seluruh dunia hanya dalam masa beberapa tahun. Namun, masalah sikap dan disiplin mencoret kontroversi buat namanya.

Pada November 2018, dia mengumumkan mengenai perkahwinannya dengan Baldwin.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 11:25 AM