HISHAMMUDDIN bersama Fallon di Mesyuarat Menteri Pertahanan Pasukan Pengaman PBB.
HISHAMMUDDIN bersama Fallon di Mesyuarat Menteri Pertahanan Pasukan Pengaman PBB.

Kuala Lumpur: Ancaman oleh kumpulan Daish dan isu Laut China Selatan ialah antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatannya dari Britain Michael Fallon di London.

Pertemuan berlangsung sempena lawatan kerja Hishammuddin ke ibu negara Britain itu untuk menghadiri Mesyuarat Menteri Pertahanan Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Fallon dan saya mengulangi komitmen kami kepada Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan pentingnya untuk meningkatkan kerjasama dan keselamatan serantau terutama menjelang Eksasais Bersama LIMA yang akan diadakan pada Oktober tahun ini,” kata beliau.

Hishammuddin juga diperkenalkan dengan Menteri bagi Perolehan Pertahanan United Kingdom (UK) yang baharu, Harriett Baldwin.

“Malaysia menghargai hubungan pertahanan yang mesra dan rapat dengan UK, baik secara dua hala mahupun melalui Peraturan Pertahanan Lima Negara,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya semalam.

FPDA yang ditubuhkan pada 1971 dianggotai oleh Malaysia, Singapura, UK, Australia dan New Zealand.

Mengenai mesyuarat pasukan pengaman PBB, Hishammuddin berkata ia memberi peluang bagi mereka yang secara kolektif bertanggungjawab bagi sumber-sumber yang dijanjikan kepada PBB untuk tampil bersama dan memastikan langkah susulan yang berterusan ke Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Pasukan Pengaman pada September lalu.

-BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 8:56 AM